Wanita DAP Tolak Diskriminasi Gender

CLARE TAUNEK

Oleh SURAIDAH ROSLAN
PENSIANGAN: Wanita DAP Sabah mengutuk taktik pihak tertentu yang melakukan serangan siber ke atas bakal calon DAP kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu,Tulid.

Wanita Parti Tindakan Demokratik (DAP) mengecam tindakan yang berbaur seksualisasi yang dilakukan ke atas Clare Taunek dalam media sosial baru-baru ini.

Ketua Wanita DAP Sabah, Jannie Lasimbang berkata, perbuatan menghina ahli politik wanita dengan cara menyerangnya di media sosial merupakan satu tindakan yang tidak matang.

Biarpun mereka ingin mengundang persepsi negatif orang ramai terhadap Clare dengan mengeluarkan perkataan dan imej lucah bagi menjatuhkan imejnya namun, itu bukan caranya.

Tindakan memalukannya tersebar luas dalam laman Whatsapp dan media sosial yang lain.

Berikutan itu, Wanita DAP Sabah menyeru agar semua pihak yang terlibat agar mengamalkan politik yang lebih bersih dan beretika dalam mengambil hati rakyat di kawasan yang bakal ditandingi.

“Diskriminasi berasaskan gender bukan tindakan yang baik sama ada ia dilakukan ke atas ahli politik wanita mahupun golongan wanita lain. Perbuatan ini hingga ke tahap ‘character assasination’,” jelasnya.

Menurutnya, serangan di media sosial yang ditujukan kepada wanita akan turut memberi impak negatif bukan sahaja ke atas emosi tetapi kebolehan wanita untuk melibatkan diri dalam semua bidang pekerjaan.

“Serangan siber berbentuk diskriminasi berasaskan gender ini melalui media sosial adalah bertentangan dengan prinsip demokrasi Malaysia yang mengutamakan kebebasan, penyertaan dan pilihan di mana ini akan mengehadkan kebebasan wanita,” jelasnya.

Clare ketika ditemui berkata, buli siber yang dilakukan ke atasnya baru-baru ini bukan sahaja mengganggu tetapi juga mengancam penglibatan wanita dalam politik serta menperlekehkan amalan demokrasi di Malaysia.

Katanya, serangan siber tersebut bukan sahaja bertujuan untuk merendahkan kredibilitinya tetapi juga menggambarkan rendahnya nilai politik yang diamalkan di negeri ini.