Wanita Cuba Terjun Kondominium 18 Tingkat Diselamatkan Bomba

PENAMPANG : Seorang wanita dilaporkan cuba terjun dari sebuah kondominium setinggi 18 tingkat di sini, petang semalam.

Bagaimanapun wanita berusia 25 tahun itu tidak meneruskan hasratnya selepas
berjaya dipujuk sepasukan bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tinggalan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian seorang wanita cuba membunuh diri di kondominium Light Resident, di sini jam 2.40 petang.

Katanya sepasukan 7 pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Penampang dikejarkan ke lokasi yang terletak 4 kilometer dari balai.

“Terdapat seorang mangsa wanita cuba untuk bunuh diri terjun dari bangunan kondominium di tingkat 18.

“Wanita itu berjaya dipujuk oleh pasukan bomba dan seterusnya diserahkan kepada majikannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Setelah memastikan tiada lagi kemerbahayaan yang wujud, operasi ditamatkan jam 3.32 petang.