Wanita Cipta Nama Dalam Kerjaya Dimonopoli Kaum Lelaki

110
Joyce semasa memenangi Static Worlds Championship 2019.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Dewasa ini bidang kerjaya yang dahulunya hanya diceburi kaum lelaki sudah mula menyaksikan penglibatan kaum wanita.

Peredaran zaman memperlihatkan perubahan mula berlaku dimana, bidang kerjaya tidak lagi dimonopoli oleh satu jantina sahaja.

Pada masa ini, Sukan Orang Kuat yang dahulu sinonim dengan sukan untuk lelaki kini sudah mula memperlihatkan pembabitan ramai kaum wanita. Jika lelaki boleh mencipta kejayaan dalam bidang sukan ini, begitu juga dengan wanita.

Joyce Heng Shu Xia, 32, membuktikan kehebatan wanita mencipta nama dan kejayaan dalam bidang ini sudah setanding dengan lelaki.

Joyce semasa menjalani salah satu cabaran dalam Static Worlds Championship.

Kejayaan dicapai dalam menjuarai kategori wanita bagi Static Worlds Championship 2019 di Gold Coast, Australia pada Jun lalu antara kejayaan terbesar dicapai oleh atlet sukan ini.

Beliau juga memenangi Pertandingan Orang Kuat di beberapa negeri dan negara termasuk Brunei Darussalam.

Katanya, walaupun terdapat sesetengah individu memperlekehkan keupayaan dan pencapaian yang diperolehinya namun, beliau tekad untuk membuktikan wanita juga mampu berjaya dalam bidang sukan Orang Kuat ini.

”Saya banyak bergaul dengan atlet yang mempunyai hala tuju dan matlamat yang sama agar mampu meningkatkan lagi prestasi diri, ” katanya ketika ditemui, di sini baru-baru ini.

Joyce berkongsi pandangannya dalam bidang sukan yang diceburi ramai kaum lelaki itu sempena Sambutan Hari Wanita Kebangsaan yang jatuh pada 25 Ogos setiap tahun.

Menurutnya, persepsi sukan Orang Kuat bukan untuk atlet wanita perlu diubah seiring dengan peredaran zaman.

”Persepsi wania tidak terlibat dalam sukan kasar tidak seharusnya menjadi alasan atau penghalang kepada wanita untuk mencuba sukan lasak sebegini.

”Saya percaya apa juga aktiviti sukan yang mengutamakan ciri maskulin mampu dilakukan oleh wanita. Dengan latihan yang cukup, wanita juga setanding dengan lelaki dalam bidang sukan lasak,” ujarnya.

LULU

Turut membuktikan keupayaan wanita sehebat lelaki adalah Llewellyn M. Mirasol,34, yang kini bertugas sebagai Jurulatih Selaman (Dive Instructor) di Downbelow Marin & Wildlife Adventure.

Llewellyn yang lebih dikenali sebagai Lulu berkata, beliau tidak kisah dengan persepsi orang yang andaikan jurulatih selaman hanya untuk kaum lelaki.

”Pada saya, jika ingin melakukan sesuatu, kita tidak boleh ambil kisah pandangan orang lain. Saya sentiasa ingin mengubah pandangan orang bahawa wanita juga boleh membina kerjaya dalam industri selaman,” katanya.

Menurutnya, apabila wanita bergiat dalam aktiviti yang dahulunya dimonopoli kaum lelaki, ia jelas membuktikan keupayaan wanita setanding dengan lelaki.

“Jika dilihat orang akan merasa terkejut apabila mengetahui wanita boleh berjaya dalam bidang dahulu hanya diceburi oleh lelaki. Bukan hanya dalam industri selaman tetapi juga dalam industri lain.

”Untuk mengubah tanggapan masyarakat, wanita perlu membuktikan bahawa kita juga boleh berjaya dalam bidang yang lasak,” ujarnya.

NURUL IZATI

Lulu berkata, industri ini perlukan penglibatan ramai wanita bagi membolehkan industri selaman ini aseimbang kerana sudut pandangan wanita dan lelaki berbeza.

Sementara itu, Nurul Izati Ismail, 20, yang merupakan kumpulan pertama Program Latihan Industri Kimpalan (Link) yang ditaja oleh Sabah Shell Petroleum Company berkata, melibatkan diri dalam kursus kimpalan bukan sesuatu yang asing bagi pelajar wanita di Kolej Vokasional Likas.

”Apa yang penting sekarang adalah untuk kaum wanita membuktikan bahawa kami juga mampu bersaing secara hebat dengan kaum lelaki dalam bidang ini,” katanya.

Izati menceburi bidang ini kerana melihat bidang kimpalan mempunyai peluang kerjaya yang luas ekoran pertumbuhan industri minyak dan gas di negara ini termasuk di Sabah.

Katanya, beliau yakin hasil kerja yang baik adalah pengukur kepada keupayaan seseorang untuk diambil bekerja tanpa mengira mereka adalah wanita mahupun lelaki.

Beliau juga mahu majikan di luar sana tidak mendiskriminasi wanita dengan hanya mengambil pekerja kimpalan lelaki sahaja.Hasil kerja kimpalan wanita juga sebaik kaum lelaki.