Wanita Cedera Terkisar Tangan Dalam Mesin Pengisar Tebu Di Tawau

Pasukan bomba membantu mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit dalam mesin pengisar tebu.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
TAWAU: Kesibukan mengisar tebu menggunakan mesin bertukar menjadi tragedi apabila seorang wanita terkisar tangan sendiri dalam kejadian di Kampung Sentosa, di sini pada Selasa.

Tangan mangsa yang tersepit ketika sibuk mengisar tebu.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia (JBPM) memaklumkan menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 10 pagi Selasa dan sebuah jentera FRT serta sebuah jentera EMRS dengan kekuatan tujuh anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan Kasdi Latimin bergegas ke lokasi kejadian.

Sebaik tiba dilokasi kejadian didapati mangsa, seorang wanita berusia 25 tahun tersepit pada bahagian tangan di dalam mesin pengisar tebu.

Pasukan bomba berjaya mengeluarkan tangan mangsa yang dikenali sebagai Era Fazira Ramli dan memberi rawatan awal sebelum mangsa dihantar ke hospital oleh pihak ambulans untuk rawatan selanjutnya.