Wang Ihsan Banjir Disampaikan Kepada 688 Ketua Isi Rumah Batu Kawa

Dr Sim Kui Hian
Dr Sim Kui Hian

KUCHING – Fasa kedua bantuan wang ihsan banjir daripada kerajaan pusat disampaikan kepada 688 ketua isi rumah di kawasan Batu Kawa di sini hari Rabu.

Bantuan itu disampaikan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri Batu Kawa merangkap Menteri Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Dr Sim Kui Hian.

Dalam ucapannya, beliau berkata fasa ketiga pemberian wang ihsan berkenaan kepada mangsa banjir yang mungkin tercicir dalam pemberian wang ihsan RM500 bagi setiap isi rumah itu pada fasa pertama dan kedua ini akan disampaikan kemudian.

“Bantuan wang ihsan RM500 bagi setiap isi rumah mungkin tidak mencukupi bagi membayar kerugian sepenuhnya kepada mangsa.

“Bagaimanapun mangsa terlibat harus berterima kasih dan bersyukur, terutamanya kepada agensi berkaitan iaitu Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Sarawak yang berusaha membawa perkara ini ke peringkat persekutuan,” katanya.

Dalam pada itu, Sim berharap kerajaan pusat dapat menyalurkan wang ihsan bencana banjir dengan lebih cepat untuk meringankan beban mangsa banjir.

“Kita tidak begitu gembira kerana pemberian wang ihsan fasa kedua ini mengambil masa agak lama untuk disampaikan kepada mangsa,” katanya.

Sim berkata Batu Kawa bakal mempunyai Pasukan Bertindak Kecemasan Komuniti (CERT) sebagai kesiapsiagaan menghadapi banjir, selepas pihak Petronas bersetuju menubuhkan pasukan itu di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, penubuhan pasukan itu mendapat kerjasama kerajaan negeri melalui agensi keselamatan negeri.

Katanya, syarikat petroleum negara itu akan menyediakan kelengkapan atau kemudahan dan akan dianggotai ahli sukarela tempatan, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan JPAM.

Beliau bekata sebahagian daripada kawasan Batu Kawa dilanda banjir setiap tahun kerana terletak di kawasan rendah.