Waktu operasi stesen minyak di Labuan dipendekkan

LABUAN: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Labuan pada Khamis meluluskan permohonan enam operator stesyen minyak di pulau bebas cukai disini untuk memendekkan operasi perniagaaan bermula esok (Jumaat).

Pengerusinya JPBN Labuan Dr Fary Akmal Osman berkata sebagai langkah untuk menangani wabak Covid-19, pengendali stesen minyak telah mencadangkan untuk memendekkan waktu operasi dari pukul 6 pagi hingga 3 petang sahaja.

Dr Fary

“Enam pengendali itu menyerahkan surat kepada jawatankuasa itu pagi ini yang menyatakan pelan operasi perniagaan mereka untuk dipendekkan susulan penularan COVID-19.

“Kami bersetuju dengan kebimbangan mereka terutama kepada pekerja mereka, kami meluluskan permohonan itu dan ianya akan berkuat-kuasa serta merta,” katanya hari ini.

Labuan mempunyai tiga stesen PETRONAS – di Saguking, Jalan Pohon Batu dan Durian Tunjong, dua stesen Shell – di Jalan Tun Mustapha dan di pusat bandar dan satu stesen PETRON juga di pusat bandar.

Pemilik stesyen minyak PETRONAS Saguking, Mohammad A Ghani berkata sebagai pengusaha stesyen minyak dengan stafnya yang berhadapan dengan pelbagai orang setiap minit, sudah semestinya satu kebimbangan kepadanya.

“Kami risau wabak COVID-19 ini akan menjejaskan kakitangan kami, itulah sebabnya kami mengajukan cadangan kepada jawatakuasa untuk kelulusan, kami tidak mahu ambil keputusan sendiri (memendekkan masa operasi) yang mungkin akan membawa rungutan pengguna,” katanya.

Labuan telah mencatatkan lima kes COVID-19 tanpa kematian dan tidak ada kenaikan kes dalam seminggu.