Wakil Rakyat Sambut Baik Langkah MPS Tawar Parkir Percuma

661

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Keputusan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) menawarkan khidmat meletak kenderaan secara percuma di semua lot parkir awam di bandar ini adalah langkah terbaik bagi memajukan kembali bandar tersebut.

Ahli Parlimen Sandakan, Datuk Stephen Wong Tien Fatt berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu melaksanakan keputusan-keputusan baik seperti itu demi memastikan Sandakan mampu menarik kemasukan lebih ramai pengunjung untuk memacu ekonomi di situ.

“Saya fikir ini adalah salah satu cara membangunkan kembali negeri ini sebab sejak sistem parkir baharu dilaksanakan pengunjung ke bandar Sandakan semakin berkurangan.

STEPHEN WONG

“Orang tidak mahu masuk ke bandar bukan sahaja sebab terbeban dengan bayaran parkir tetapi bagi golongan warga emas mereka tidak tahu menggunakan sistem baharu menyebabkan ada yang disaman,” katanya kepada Borneo Today hari ini.

Stephen diminta mengulas keputusan Presiden MPS, Datuk Peter Hii Chang Lik bahawa PBT itu menawarkan khidmat meletak kenderaan awam percuma di seluruh bandar Sandakan selama enam bulan bermula esok.

Menurut Peter, orang awam boleh meletakkan kenderaan di semua petak parkir disediakan, namun bagi petak yang disewa khas serta di bangunan MPS, kadar sewaan tidak berubah.

Sebelum ini, bandar Sandakan adalah antara yang paling pesat membangun di Sabah kerana industri balak di daerah-daerah sekitarnya tetapi sejak era ‘timber boom’ itu berakhir, suasananya semakin sunyi.

Meskipun ekonomi yang suram di situ disebabkan banyak faktor, terdapat segelintir pengunjung yang turut mengakui terbeban dengan kadar parkir yang perlu dibayar sehingga mereka memilih untuk berbelanja di tempat lain.

ARIFIN ASGALI

Stephen yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Penduduk berkata, PBT perlu memikirkan lebih banyak program selepas ini demi menarik pengunjung ke Sandakan seperti mengecat semula semua bangunan yang ada agar lebih cantik dan mengadakan aktiviti bersama rakyat.

“Bandar Sandakan sudah cantik tetapi perlu dicantikkan lagi dan manfaatkan industri pelancongan yang serta dengan menarik lebih ramai pengunjung seperti melalui program rakyat atau aktiviti pasar malam,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong, Arifin Asgali berkata, dengan adanya parkir percuma sudah tentu lebih ramai pengunjung datang ke Sandakan untuk membeli-belah dan meningkatkan ekonomi penduduk di situ.

“Keputusan ini baik agar dapat menghidupkan semula bandar Sandakan dan memberi ruang kepada peniaga kembali membuka kedai,” katanya ringkas.