Wakil Rakyat Sabah Waras Dan Ada Perjuangan, Bukan Sesuka Hati Lompat Parti

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN dan JENIFFER TUGUNG MICHAEL
KOTA KINABALU: Wakil rakyat kerajaan di Sabah masih cukup waras dan mempunyai maruah diri untuk kekal dalam perjuangan bersama menuntut hak-hak Sabah di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), bukannya mudah berpaling tadah disebabkan kehendak politik semata-mata.

Berikutan itu, senario politik di Semenanjung yang menyaksikan beberapa kerajaan negeri antaranya Melaka dan Kedah tumbang akibat tindakan wakil rakyat lompat parti tidak akan berlaku di Sabah kerana kesatuan yang teguh dalam kalangan pemimpinnya.

MADIUS TANGAU

Ketua Whip Kerajaan Sabah, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, khabar angin yang mengatakan kononnya Kerajaan Sabah akan tumbang tidak lama lagi disebabkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berpaling tadah adalah palsu.

Beliau yang juga Presiden UPKO berkata, wakil rakyat kerajaan masih teguh menyokong Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal untuk meneruskan perjuangan menuntut hak-hak negeri ini yang terabai selama ini ketika di bawah pemerintahan lampau.

“Sokongan dan dokongan kami ini adalah berasaskan perjuangan yang telah dimulakan Ketua Menteri khususnya untuk mempertahankan hak-hak negeri Sabah selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963, dalam masa dua tahun yang lalu terbukti bahawa kepimpinan Ketua Menteri dengan lantang nyatakan dalam pelbagai korum.

“Terutama sekali semasa pelbagai mesyuarat Jawatankuasa Berkaitan MA63 yang dipengerusikan pada ketika itu Tun Dr. Mahathir Mohamad, malah kita telah mencapai sekurang-kuranya persetujuan untuk 17 perkara tetapi kerana ada peralihan kerajaan kita tidak nampak keputusannya pada hari ini,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Sidang akhbar khas bagi menyatakan sokongan kepada Ketua Menteri itu turut dihadiri pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) Sabah.

Antara yang hadir ialah Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew; Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon dan pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan) serta pimpinan PH lain.

Sebelum ini, tersebar di media sosial kononnya ADUN kerajaan hilang keyakinan terhadap Ketua Menteri dan akan berpaling tadah menyebabkan pemerintahan beliau tumbang seperti yang berlaku di Semenanjung membabitkan negeri Johor, Perak, Melaka dan terbaharu Kedah.

Menurut Madius, daripada segi percaturan politik, senario di negeri-negeri berkenaan tidak sekukuh di Sabah kerana kerajaan negeri sekarang mempunyai kelebihan 18 kerusi berbanding pembangkang.

“Sabah ini bukan Melaka, Sabah ini bukan Kedah majoriti mereka satu, dua sahaja kita ada 18 kita kukuh, maka kita bukan Johor kita bukan Kedah kita kukuh dengan bilangan majoriti tinggi 18, jadi jangan samakan kita dengan sana.

“Lagi pun kita di Sabah perjuangan kita sebagai orang-orang Sabah jelas yang selama ini diabaikan dan dengan Ketua Menteri terbukti dalam masa dua tahun lalu, satu persatu kita buat beoiau terbukti begitu lantang saya sendiri pun ahli jawatankuasa dalam MA63 dan menyaksikan kelantangan beliau dan kita mahu teruskan ini dan semua wakil rakyat bersetuju langkah diambil, malang sekali baru dua tahu kita mahu teruskan perjuangan ini,” katanya.