Wakil Rakyat Diingatkan Bantu Rakyat Bukan Bina Kekayaan

173

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
SANDAKAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, mana-mana wakli rakyat kerajaan yang didapati tidak menjalankan tanggungjawab mereka akan ditukar dengan pemimpin lain yang selayaknya berkhidmat untuk rakyat.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua wakil rakyat agar menunaikan tanggungjawab mereka seperti yang diamanahkan untuk membantu rakyat bukannya mengambil kesempatan mencipta kekayaan kepada diri sendiri.

“Tahun ini kita kena rajin dan saya sudah maklum kepada yang berhormat-yang berhormat saya, kena rajin, rajin bukan cari duit sendiri rajin untuk tolong rakyat yang susah di Sandakan ini, ini yang penting saya sudah bagitau kalau kita rajin bantu rakyat kita akan pastikan rakyat akan undi kita.

“Tetapi kalau kita rajin cuma cari duit dalam akaun kita undi kita akan kurang kita akan kalah jadi saya tidak mahu kalah kalau itu sudah ada petanda saya sudah bagitau saya akan tukar calon untuk ganti supaya yang penting bagi kita mana rakyat yang boleh bagi menang kepada kita, ini tujuan kita supaya penting kepada kita pastikan supaya rakyat di negeri ini akan dapat kita bela dengan baik jadi ini tujuan kita untuk pastikan pembangunan dan pembelaan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2020 di sini hari ini.

Mohd. Shafie berkata, beliau mahu semua wakil rakyat agar menyelami masalah rakyat, turun padang dan membantu apa sahaja masalah yang dihadapi rakyat bukannya hanya mucul di mata rakyat semasa musim pilihan raya.

Katanya, sistem demokrasi negara ialah rakyat akan memilih pemimpin semasa musim pilihan raya, justeru apabila wakil rakyat sudah dipilih, mereka perlu menggunakan sepenuhnya amanah yang diberikan untuk membantu rakyat.

Sementara itu, beliau berkata, selain membantu rakyat miskin, setiap wakil rakyat juga perlu membina hubungan baik dengan orang-orang kaya kerana golongan tersebut yang terlibat dalam perniagaan berperanan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Jadi saya berharap ini langkah yang baik kerjasama mesti ada bukan hanya orang yang miskin orang kaya juga kena kita tolong pasal kalau kita tidak ada kerjasama dengan orang kaya, orang kaya bila ada syarikat dia, dia bagi kerja orang orang kaya kalau ada dia punya bisnes dia bagi kerja orang bila dia bagi kerja orang dia bagi hidup orang jadi kita kena kerjasama kongsi-kongsi

“Yang kaya yang miskin kena kerjasama yang miskin perlu ditolong kalau semua orang kaya tidak ada orang miskin, kalau kita tidak tolong orang kaya tidak akan boleh lahir pekerjaan tetapi orang kaya jangan simpan duit banyak dalam bank orang kaya kena keluarkan duit supaya kita buat perusahaan yang ada di negeri Sabah ini,” katanya.