Wajibkan calon pilihan raya isytihar harta, sumber pendapatan – MBS

KOTA KINABALU: Pengerusi Tetap Majlis Belia Sabah (MBS) Mazlan Joe Manan menyarankan kerajaan melalui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar mewajibkan bakal calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah mengisytiharkan harta dan sumber pendapatan sebelum atau semasa mengemukakan borang pencalonan.

Beliau berkata perkara itu penting bagi memastikan harta seseorang calon itu setara atau sepadan dengan sumber pendapatannya dan dapat menghindarkan penyalahgunaan kuasa atau rasuah di masa hadapan.

“Selain itu ahli politik dan calon-calon pilihan raya dapat memperlihatkan komitmen yang membina ke arah mewujudkan persekitaran bebas rasuah dan berintegriti seperti diharapkan oleh rakyat dan pengundi di kawasan masing-masing.

“Cabaran utama parti dan ahli politik adalah berkaitan persoalan integriti. Dengan langkah awal ini akan dapat membantu rakyat membuat tapisan kepada calon-calon pilihan raya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata sekiranya semua parti yang bertanding dapat memperlihatkan kebertanggungjawaban dan integriti calon masing-masing, maka dapatlah rakyat mengharapkan agar gelanggang politik dan pilihan raya ini dilaksanakan secara sihat dan mencapai matlamatnya untuk memilih wakil rakyat serta menentukan kerajaan.