Wahai Menteri, Bila Mahu Bina Balai Bomba Di Telupid?

Kempen mendesak supaya balai bomba dibina di Telupid telah dimulakan oleh penduduk di situ sejak lima tahun lalu.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
TELUPID: Satu jam 14 minit adalah tempoh masa yang diambil oleh pasukan bomba dari Balai Bomba Beluran untuk menghantar sebuah jentera bersama anggota bagi memadam kebakaran sederet bangunan kedai enam pintu di Kampung Gambaron 1, semalam.

Kebakaran tersebut bermula pada pukul 4.30 petang dan bomba menerima panggilan kecemasan dua minit kemudian, namun apabila jentera pasukan keselamatan itu tiba di lokasi selepas menempuh perjalanan sejauh 93 kilometer, bangunan tersebut telah musnah sepenuhnya.

Dengan kedudukan kebakaran itu hanya kira-kira 50 meter dari stesen minyak Petron, penduduk sekitar hanya mampu berdoa dan bersyukur kerana api yang marak tidak merebak kerana kesannya pasti lebih buruk.

Itulah hakikat yang perlu ditelan oleh masyarakat Telupid dan daerah Tongod yang terletak berhampiran setiap kali berlaku kebakaran, harta benda tidak dapat diselamatkan dan dalam beberapa kejadian sebelum ini, ada nyawa yang terkorban.

Tahun lalu, Zuraidah telah mengumumkan balai bomba akan dibina di Telupid tahun ini, tetapi masih belum direalisasikan.

Perjuangan menuntut supaya balai bomba atau sekurang-kurangnya bomba sukarela dibina di daerah itu telah lama diadukan kepada Kerajaan Persekutuan termasuk kerajaan terdahulu tetapi masih tidak berjawab, jadi persoalannya sampai bila rakyat perlu menunggu?

Ogos tahun lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mengumumkan balai bomba akan dibina di Telupid bermula tahun ini tetapi masih belum direalisasikan walaupun tapak tanah sudah pun disediakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labuk, Abdul Rahman Kongkawang berkata, pergolakan politik yang melanda negara termasuk penularan wabak Covid-19 mungkin memainkan faktor peruntukan lambat dikeluarkan, namun insiden semalam merupakan mesej jelas keperluan mendesak di daerah itu.

“Kita sudah maklum bahawa kelulusan telah diberikan oleh menteri dan kejadian semalam menambahkan desakan agar balai bomba dibina di daerah itu, tidak boleh dilambat-lambatkan lagi.

Orang ramai hanya mampu melihat api membakar sederet bangunan kedai di Kampung Gambaron 1 semalam.

“Saya tidak mahu salahkan pasukan bomba yang datang lambat kerana jauh dari Beluran, masalah ini terletak di peringkat pimpinan yang sepatutnya mendengar rintihan rakyat Telupid dan daerah sekitarnya tentang keperluan sebuah balai bomba dibina,” katanya ketika dihubungi Borneo Today hari ini.

Abdul Rahman berkata, Telupid yang mempunyai 39 kampung dengan lebih 10,000 penduduk mempunyai pekan yang pesat membangun dengan bangunan-bangunan kedai, pasar raya, kemudahan perbankan serta dua stesen minyak.

Menurutnya, ditambah dengan kedudukan  Telupid yang berjiran dengan daerah Tongod, maka pembinaan balai bomba di situ merupakan lokasi yang sangat strategik.

“Saya secara peribadi akan mengutus surat kepada kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk mendesak supaya balai bomba ini dipercepatkan, itu yang saya boleh bantu sebagai wakil rakyat di sini.

“Lupakan pergolakan politik yang berlaku sebaliknya Kerajaan Persekutuan perlu segera menjadikan pembinaan balai bomba di Telupid satu realiti,” katanya.

Tambahnya, baik pulih jalan sepanjang laluan dari persimpangan Beluran ke Telupid yang sedang dijalankan juga perlu dipercepatkan kerana faktor jalan turut menyumbangkan kepada kelewatan ketibaan pasukan bomba.