Vivian Wong Terharu Dengan Sokongan, Janji Beri Khidmat Terbaik

1125
Vivian Wong bersama ibunya, Datin Florence Wong.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
SANDAKAN: Kemenangan dengan majoriti besar sebanyak 11,521 undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan akan dijadikan pembakar semangat untuk Vivian Wong bekerja keras menunaikan amanah yang diberikan oleh rakyat.

Vivian berkata, dengan bimbingan semua pemimpin Pakatan Harapan (PH) serta Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, beliau yakin akan dapat menjalankan tanggungjawab itu dalam tempoh empat tahun ini.

Katanya, tanpa sokongan semua pihak sepanjang kempen, kemenangan itu tidak akan dicapai, justeru sokongan daripada kesemua pemimpin berkenaan serta pengundi Sandakan amat diperlukannya untuk memberi khidmat kepada rakyat.

“Terima kasih kepada motivasi yang mereka berikan sepanjang kempen, saya harap empat tahun ini dapat buktikan kepada rakyat Sandakan kemampuan untuk berkhidmat kepada mereka.

“Saya sudah pun mendapat beberapa aduan daripada rakyat yang perlu diselesaikan dan akan saya usahakan,” katanya kepada pemberita selepas diumumkan sebagai Ahli Parlimen Sandakan yang baharu.

Dalam PRK itu, Vivian, 30, mendapat 16,012 undi mengatasi pencabar terdekatnya daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Linda Tsen Thau Lin yang hanya meraih 4,491 undi.

Tiga calon bebas iaitu Hamzah Abdullah memperoleh 788 undi, Chia Siew Yung (178) dan Sulaiman Abdul Samat (126).

Mengulas lanjut tentang kemenangannya, Vivian melahirkan kesyukuran dan terharu terhadap sokongan pengundi Sandakan serta mengucapkan terima kasih atas setiap undi yang diterima.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada Mohd. Shafie yang bekerja keras demi kemenangannya serta semua pemimpin PH terutama DAP yang berkampung di Sandakan.

Ditanya apa perkara pertama yang akan dilakukannya esok, menurut Vivian beliau akan menziarahi kubur mendiang bapanya, Datuk Stephen Wong.

“Esok saya akan menziarahi kubur bapa saya untuk ucapkan terima kasih, saya akan teruskan legasi beliau.

“Terima kasih juga kepada ibu saya yang menyokong saya terlibat dalam politik, semua rakyat Sandakan, pimpinan parti dan pimpinan kerajaan negeri yang membantu,” katanya.