Vivian Janji Teruskan Perjuangan Bapa Tanpa Mengira Kaum

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
SANDAKAN: Calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, Vivian Wong mengakui amat faham dengan masalah-masalah yang dihadapi rakyat di kawasan tersebut.

Membawa bersama moto Dinamik Sandakan dalam karear politiknya, Vivian yang merupakan anak jati Sandakan berikutan itu berjanji akan meneruskan perjuangan membangunk ekonomi Sandakan agar daerah itu dapat berkembang pesat dan dinamik.

“Saya akan memperjuangkan usaha menaik taraf Lapangan Terbang Sandakan, kemudahan infrastruktur dan program perumahan rakyat,” katanya kepada BorneoToday.

Vivian, 30, yang merupakan aktivis masyarakat adalah anak kepada mendiang Datuk Stephen Wong yang menjadi Ahli Parlimen Sandakan selama dua penggal sebelum meninggal dunia bulan lalu.

Lulusan Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak dari Universiti Malaya itu berkata, sebagai anak jati Sandakan, beliau amat memahami keperitan hidup yang dialami masyarakat Sandakan akibat masalah infrastruktur.

Vivian berkata, beliau akan meneruskan usaha mendiang bapanya dalam memperjuangkan kebajikan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

“Selama ini orang Sandakan mengalami masalah bekalan elektrik. Saya amat memahami masalah yang dihadapi rakyat sebab saya anak Sandakan.

“Saya juga mengalaminya sebab dilahirkan di Sandakan dan mendapat pendidikan di sini,” katanya yang turut pernah ke luar negara bagi menjayakan misi bantuan kemanusiaan.

Berikut adalah visi dan misi Vivian untuk Sandakan:

KEBAJIKAN
– mempermudah dan mempercepat proses permohonan bantuan kebajikan bagi warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan golongan kurang berkemampuan;

Vivian Wong,dua dari kananm dengan pemimpin DAP Sabah serta Lim Kit Siang, tiga dari kiri, di Sandakan pada Kamis malam.

WANITA
– untuk membawa suara dan kebimbangan kaum wanita ke Dewan Rakyat

BELIA
– menjana lebih banyak peluang pekerjaan kepada belia

PENDIDIKAN
– mempromosi lebih banyak peluang melanjutkan pelajaran kepada belia

EKONOMI
– mengembangkan ekonomi Sandakan melalui sektor pelancongan dan pelaburan asing


LATARBELAKANG CALON DAP

Parlimen P 186 Sandakan

Vivian Wong Shir Yee Umur: 30

LATAR BELAKANG KELUARGA :

Anak bongsu (anak ke-4) kepada mendiang YB Stephen Wong Tien Fatt.

Terlibat dalam arena politik sejak tahun 2012, menyertai Parti Tindakan Demokratik (DAP) bersama-sama dengan mendiang YB Stephen Wong Tien Fatt, dan telah menjadi ahli aktif sejak itu.

PENCAPAIAN AKADEMIK :

– Pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Perhubungan Awam dari Murdoch University, Western Australia (2013).

– Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur (2018).

– Diploma Komunikasi dan Media dari Inti College Subang Jaya, Selangor (2010).

– SPM, SMK Sung Siew, Sandakan (2006).

PENGALAMAN BEKERJA:

– Perunding Kewangan di sektor perbankan, Kuala Lumpur (2013-2015).

– Pengajar di International Korean School of Malaysia, Cyberjaya (2015-2018).

– Pegawai Khas kepada Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (2019)

Lim Guan Eng, Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal dan Vivian Wong.

PENGALAMAN SOSIAL :

Selaras dengan semangat dedikasi mendiang ayah beliau, Vivian aktif dalam pelbagai kerja sosial sebagai sukarelawan, antaranya termasuk:

1) Lawatan Misi Perubatan ke Indonesia pada tahun 2015, membantu mangsa gunung berapi.

2) Lawatan Misi Perubatan ke Kemboja (2015), memberi perkhidmatan perubatan dan kesihatan kepada golongan susah.

3) Program pembinaan rumah untuk orang asli di bawah “Epic Homes’ Building Houses Project” di Semenyih Selangor dan Gua Musang Kelantan (2016 dan 2018); dan menyertai program bina rumah untuk orang susah di bawah “Ihsan Johor’s building Houses Project” pada tahun 2016.

4) Menyertai Kechara Soup Kitchen, mengagih makanan kepada golongan gelandangan.