Vivian Wong Angkat Sumpah Di Dewan Rakyat

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KUALA LUMPUR: Vivian Wong, 30, mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Sandakan di Dewan Rakyat pagi ini.

Lengkap bersut hitam, Vivian mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Ariff Md. Yusof.

Dalam pesanan ringkasnya, Mohd. Ariff memberi peringatan kepada Vivian untuk menjaga maruah Dewan Rakyat sebagai institusi perundangan tertinggi negara.

“Saya yakin Yang Berhormat akan melepaskan jawatannya sekarang seperti dikehendaki Perlembagaan dan meneruskan warisan serta pengorbanan mendiang Datuk Stephen Wong yang juga bekas Ahli Parlimen Sandakan.

“Saya juga percaya selepas diberikan mandat, kamu berperanan menarik kepercayaan golongan muda, saya percaya kamu akan terus menyuarakan aspirasi orang muda,” kata beliau.

Vivian dipilih sebagai wakil rakyat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan pada 11 Mei lalu.

Beliau adalah anak perempuan mendiang Stephen, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada Mac lalu.

Dalam PRK tersebut, beliau menerima 16,012 undi, jauh meninggalkan empat lagi pencabarnya, dengan majoriti 11,521 undi.

Bukan sahaja meminggirkan empat calon lain, beliau turut menewaskan majoriti 10,098 undi yang dimenangi mendiang Stephen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.