Vivian: Segerakan Naik Taraf Aset Keselamatan Di Pantai Timur

136

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
SANDAKAN: Langkah menaik taraf aset strategik pasukan keselamatan di pantai timur Sabah amat kritikal untuk meningkatkan tahap keselamatan bukan sahaja rakyat Sabah tetapi juga di rantau ini.

Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee berkata, insiden penculikan terbaharu di perairan Lahad Datu semalam perlu diambil iktibar dalam usaha memperkukuhkan lagi kekuatan agensi keselamatan negara.

Sehubungan itu, beliau menyatakan sokongan penuh kepada cadangan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal agar penstrukturan semula Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dipercepatkan dan kem tentera dibina di pantai timur demi menjaga keselamatan negara.

“Saya bersetuju dengan cadangan Ketua Menteri iaitu menempatkan kem tentera di lokasi sesuai di pantai timur sampil mengukuhkan kelengkapan dan penempatan kakitangan melalui penstrukturan Esscom untuk mengelakkan kejadian sama berulang kembali.

“Aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Sandakan dan agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang maritim Sandakan haruslah dikukuhkan lagi, termasuk kakitangan dan peralatan yang lengkap dan mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Mohd Shafie menyatakan beliau mahu markas pangkalan tentera ditempatkan di pantai timur Sabah berikutan ancaman keselamatan lebih kerap berlaku di kawasan sedemikian.

Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Sabah itu berkata, beliau melihat terdapat keperluan memindahkan ibu pejabat Kem Tentera Lok Kawi ke sana kerana kawasan tersebut lebih memerlukan.

Beliau menyatakan hasrat tersebut berikutan kejadian penculikan terbaharu yang berlaku di perairan Tambisan, Lahad Datu awal pagi semalam membabitkan 10 mangsa yang dipercayai dilakukan Abu Sayyaf.

Sementara itu, Vivian berkata, isu keselamatan Sabah akan menjadi topik perbahasan beliau dalam sidang Dewan Rakyat bulan depan agar mendapat perhatian serius oleh Kerajaan Persekutuan.

BERITA BERKAITAN: –

Pindah Pangkalan Tentera Ke Pantai Timur Sabah, Shafie Apdal