Vivian Lapor Polis Kenyataan Musa Hassan

Oleh TERTIA JACOB
SANDAKAN: Ketua Pemuda Sosialis Parti Tindakan Demokratik (DAPSY) Sandakan, Vivian Wong membuat laporan polis yang mahu siasatan dilakukan terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan susulan kenyataannya yang mendakwa DAP ingin menghidupkan semula puak komunis.

Vivian yang juga Ahli Parlimen Sandakan membuat laporan itu pada pukul 3.10 petang di Balai Polis Bandar Sandakan, kelmarin.

Laporan polis itu dibuat merujuk kepada kenyataan Musa sewaktu beliau memberi syarahan yang bertajuk Wacana Isu Semasa Perjanjian Damai Hat Yai 1989: PKM Menyerah Diri? di Institute of Business Excellence (IBE), Universiti Teknologi MARA (UITM), Shah Alam, Selangor, pada Khamis lalu.

Vivian mendakwa syarahan itu seolah-olah membangkitkan fakta bahawa DAP disokong oleh Parti Komunis Malaya (PKM) menyebabkan kejadian 13 MEI pada tahun 1969.

Katanya, video yang dipaparkan di laman Facebook media rasmi UITM turut menuduh DAP hendak menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian.

“Ini adalah jelas sebuah kenyataan yang berniat jahat yang ingin menjejaskan imej DAP selaku sebuah parti politik pemerintah dan mencetuskan kacau bilau antara masyarakat.

“Kenyataan ini juga adalah fitnah atas niat untuk menjejaskan reputasi nama parti DAP,” katanya.

Sehubungan itu, Vivian mahu pihak polis mengambil tindakan sewajarnya terhadap Musa demi keharmonian masyarakat di negara ini.