Vivian Agih Dua Tan Sayur Kepada Penduduk

Oleh TERTIA JACOB
SANDAKAN: Pejabat Ahli Parlimen Sandakan mengagihkan dua tan sayur kubis kepada penduduk perkampungan atas air Sim-Sim dan beberapa pusat khidmat sosial di sini.

Pusat khidmat sosial itu membabitkan Pusat Latihan Orang Buta Taman Cahaya, Sungai Manila; Rumah Warga Tua Sri Harapan dan Pusat Jagaan Anak-anak Yatim Al-Yakin.

Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, berkata sumbangan itu diberikan kepada penduduk berpendapatan rendah sebagai langkah mengurangkan bebanan penduduk ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, sayuran berkenaan disumbangkan oleh beberapa organisasi.

“Terima kasih di atas kemurahan hati organisasi ini, sekali gus membolehkan kita mengagihkan sayur-sayuran kepada penduduk serta pusat khidmat sosial.

“Kita berharap usaha ini sedikit sebanyak membantu mereka ketika berdepan situasi sukar ini,” katanya.

Shir Yee berkata, proses pengagihan sayuran itu turut dibantu oleh kumpulan sukarelawan, Abam Botak bagi mempercepatkan penghantaran sayuran kepada penduduk.