Visa Pelancong China Dilanjutkan Seminggu

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Sabah bersetuju membantu pelancong China yang tiba di Sabah sebelum 31 Januari untuk melanjutkan tempoh visa selama tujuh hari selepas tamat tempoh berikutan penularan koronavirus.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew berkata, proses lanjutan visa itu boleh dilakukan di ibu pejabat Jabatan Imigresen Sabah di Kota Kinabalu.

“Visa akan dilanjutkan apabila pelancong menunjukkan tiket penerbangan pulang yang sah.

“Kami juga memutuskan untuk mengetepikan keperluan penjamin tempatan untuk FIT (pelancong bebas asing).

“Bagaimanapun, bayaran melanjutkan visa sejumlah RM100 masih dikenakan,” katanya dalam satu kenyataan selepas mengadakan mesyuarat khas bersama Jabatan Imigresen, Malaysia Airport Berhad dan syarikat penerbangan, di sini kemarin.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam sekitar berkata, mesyuarat itu diadakan bagi membincangkan proses penghantaran pulang pelancong China yang masih terkandas di Sabah berikutan larangan perjalanan yang dikenakan ke atas China oleh kerajaan negeri.

Christina berkata, perbincangan itu tertumpu kepada dua isu iaitu proses lanjutan visa dan aturan perjalanan bagi menghantar pelancong yang terjejas pulang ke bandar-bandar di China selain Wuhan.

Beliau berkata, syarikat-syarikat penerbangan juga bersetuju untuk mengetepikan bayaran pembatalan untuk pelancong yang dibatalkan penerbangan.

“Terdapat juga pilihan lain untuk menempah semula penerbangan ke China melalui Kuala Lumpur.

“Dengan itu, kami menasihatkan penumpang terkandas supaya mengakses laman web syarikat penerbangan untuk maklumat penerbangan yang ada untuk pulang ke negara mereka.

Tambahnya, AirAsia masih mengendalikan penerbangan dari Kota Kinabalu ke Shenzen (14 kali seminggu), Guangzhou (tujuh kali seminggu), Hangzhou (lima kali seminggu) dan Kunming (dua kali seminggu).

Jelasnya, Malaysia Airlines pula masih mempunyai penerbangan ke Shanghai sebanyak dua kali seminggu dan penerbangan China Southern Airlines ke Guangzhou berakhir Khamis ini (6 Februari).

Pada 30 Januari lalu,  kerajaan Sabah menggantung sementara waktu semua penerbangan dari China ke Sabah sebagai langkah menghindari penularan koronavirus ke negeri ini.

Penggantungan penerbangan itu bagaimanapun melibatkan penerbangan masuk ke Sabah sahaja.