Video Tular Tidak Harus Rengang Kerjasama WARISAN-BERSATU Di Sabah

209

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal mahu kisah lama disebalik video yang ditularkan mengenai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu tidak dijadikan alat merenggangkan hubungan kerjasama antara WARISAN dan BERSATU di Sabah.

Ketua Menteri Sabah ini berkata, video itu adalah video lama dimana, pada ketika itu permuafakatan sudah dibuat agar BERSATU tidak masuk ke Sabah.

“Itu cerita lama..video lama. Dahulu kita sudah muafakat supaya BERSATU tidak masuk ke Sabah.

“Pada waktu itu ada antara ahli-ahli parti kita (WARISAN) yang ragu dan bimbang. Malah, ada yang mahu keluar kerana mahukan jawatan.

“Itu cerita lama sebenarnya. Hari ini, bila BERSATU sudah ada di Sabah maka, kita bekerjasama dengan BERSATU di peringkat negeri Sabah,” katanya ketika diminta mengulas mengenai video yang tular tentang kenyataannya menyamakan BERSATU dengan Umno.

Dalam video yang ditularkan itu, Mohd Shafie ketika perjumpaan bersama pemimpin Wanita BERSATU di Kalabakan menyatakan bahawa BERSATU adalah Umno.

Beliau didakwa mempersoalkan mengapa pemimpin wanita itu memilih BERSATU.

Berikutan itu, Ketua Penyelaras BERSATU Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dalam satu portal menyatakan BERSATU adalah BERSATU dan Umno adalah Umno.

“Ia parti berlainan, dengan kepimpinan dan perjuangan yang berlainan. Menyamakan BERSATU dengan Umno menunjukkan Shafie tidak faham perjuangan BERSATU,” ujarnya.

Dengan itu, Hajiji dikatakan akan berbincang dengan isu rakaman video berkenaan dengan Mohd Shafie sekiranya ada keperluan untuk berbuat demikian.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai khabar angin akan berlaku rombakan Kabinet Persekutuan, Mohd Shafie tidak mahu memberi sebarang komen mengenai perkara itu.

“Kita serahkan kepada Perdana Menteri, dia adalah Perdana Menteri,” ujarnya.

Video yang tular :-