Video Kanak-Kanak Bergayut Pada Lori Tangki Bergerak Di Semporna, Tular Di Media Sosial

KOTA KINABALU : Tindakan tegas akan dikenakan ke atas ibubapa atau penjaga yang didapati cuai dan mengabaikan anak-anak mereka sehingga melakukan aktiviti berbahaya.

Ingatan itu dikeluarkan Polis Semporna susulan satu video tular yang memaparkan tiga kanak-kanak lelaki berlari ke arah belakang sebuah lori tangki minyak yang sedang bergerak perlahan sebelum bergayut di belakang kenderaan berat berkenaan dengan tujuan untuk berseronok di Semporna, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata aksi kanak-kanak berkenaan dalam video berdurasi 84 saat itu tular di media sosial termasuk di laman Facebook “We are Malaysian” pada 29 Julai lalu.

Katanya siasatan mendapati kejadian berlaku berhampiran sebuah stesen minyak di Batu 2, Jalan Bubul, Semporna.

Ketika itu, lori tangki berkenaan menghala ke Tawau.

Kejadian itu dirakamkan kamera papan pemuka seorang pengguna jalanraya yang kemudiannya memaklumkan perbuatan kanak-kanak terbabit kepada pemandu lori tangki berkenaan.

“3 orang kanak-kanak yang sedang bermain di tepi jalan telah mengejar sebuah lori tangki Petronas yang sedang bergerak perlahan selepas keluar daripada stesen minyak dan telah memanjat bahagian belakang lori tangki berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Kesemua kanak-kanak itu yang dipercayai warga asing kemudiannya melarikan diri di kawasan berhampiran.

“Polis IPD Semporna mengingatkan ibubapa dan penjaga supaya memastikan anak-anak berada dalam pengawasan bagi mengelak kejadian tidak diingini yang boleh membahayakan keselamatan diri dan pengguna jalanraya yang lain,” katanya.

Superintendan Mohd Farhan berkata polis amat menghargai kerjasama dan keprihatinan orang ramai dalam membantu menjaga keselamatan dan kesejahteraan di kalangan masyarakat setempat.

Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna di talian 089 – 782020 untuk tindakan selanjutnya.