Vaksinasi Strategi Utama Kekang Jangkitan Sporadik COVID di Sabah – Masidi

KOTA KINABALU: Sabah meletakkan program vaksinasi sebagai strategi utama negeri itu bagi mengekang jangkitan COVID-19 yang sudah berubah kepada sporadik dalam komuniti, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.

Beliau yang juga jurucakap COVID-19 negeri itu berkata virus COVID-19 telah berada dalam komuniti justeru strategi meningkatkan kadar vaksinasi adalah jalan terbaik mendepani pandemik itu dan bukan bergantung kepada pengasingan.

Sebagai contoh katanya Kota Kinabalu, yang mempunyai sekitar 650,000 penduduk, berdepan  ancaman jangkitan sporadik yang punca jangkitan sebenar sukar dikenal pasti, menyebabkan strategi pengasingan punca jangkitan tidak berkesan.

“Kita tidak boleh asingkan keseluruhan 650,000 penduduk Kota Kinabalu ini dari daerah lain, jadi jalan terbaik ialah memberikan vaksin dengan pantas kepada penduduk dan ini pendekatan baharu buat Sabah, tidak ada hal lain yang lebih penting.

“Apabila semua rakyat Sabah diberikan vaksin, virus COVID-19 akan ketandusan mangsa jadi dalam mendepani ini kita tidak boleh sembunyi, cara terbaik ialah melawannya dengan cara meningkatkan kadar vaksinasi,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sehubungan itu, Masidi berkata kerajaan negeri sedang merangka pelan untuk menjadikan vaksinasi sebagai strategi utama mengekang COVID-19 di Sabah dan dijadual dibentang dalam mesyuarat Kabinet kerajaan Sabah pada Rabu depan (11 Ogos).

“Semalam kami telah berunding dengan Ketua Menteri (Datuk Hajiji Noor) dan cadangan ini kami sampaikan dalam mesyuarat Kabinet nanti, kemungkinan besar kerajaan negeri akan umumkan inisiatif proaktif tertentu untuk percepat proses vaksinasi Sabah,” katanya.

 Beliau berkata cabaran terbesar Sabah dalam usaha itu ialah mendapatkan bekalan vaksin secara lebih konsisten bagi memastikan momentum vaksinasi dapat diteruskan tanpa gangguan.

“Paling penting ialah kami pastikan bekalan ikut jadual, jika pembekal lambat bekalkan vaksin kerajaan negeri tidak boleh berdiam diri dan bersabar, sebaliknya perlu cari jalan dapatkan vaksin antaranya menerusi perolehan syarikat,” katanya.

Mengulas mengenai kes harian COVID-19 di Sabah, Masidi berkata 1,291 kes COVID-19 direkodkan hari ini dengan 772 kes atau hampir 60 peratus dikesan melalui kontak rapat, manakala 299 kes atau 23.2 peratus daripada kes bergejala sporadik.