Vaksin: Permohonan Vaksinasi Menerusi MySejahtera Di Labuan Meningkat

LABUAN: Jumlah penduduk Labuan yang mendaftar untuk permohonan vaksinasi menerusi aplikasi MySejahtera meningkat dengan ketara semalam.

Peningkatan secara tiba-tiba daripada 66.11 peratus semalam kepada 73.2 peratus hari ini adalah susulan berita pelaksanaan prosedur ‘walk-in’ (mulai esok), pembukaan lima pusat vaksinasi dan penghantaran 30,000 dos vaksin ke Labuan dalam masa beberapa hari ini.

Pada 1 Jun jumlah pendaftaran bagi vaksin COVID-19 berada pada 40.8 peratus.

Pengerusi Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Labuan Rithuan Ismail berkata penduduk tempatan sudah mulai sedar risiko besar tidak mendapatkan vaksin, dengan melihat kepada jumlah kematian harian di pulau itu.

“Suka kami jelaskan di sini bahawa terdapat peningkatan ketara permohonan untuk vaksinasi dalam MySejahtera, kami harap momentun akan berterusan sehingga lebih 80 peratus, kerana kita mahu lihat lebih ramai penduduk sini menjalani program vaksinasi.

“Pendaftaran menerusi MySejahtera dalam kalangan penduduk Labuan agak perlahan sejak bulan lepas, sedangkan Putrajaya sudah mencapai 100 peratus lebih awal,” katanya kepada Bernama hari ini.

Rithuan berkata proses vaksinasi “walk-in” (menerusi Majlis Perwakilan Pendudk [MPP]) di pusat pentadbiran vaksin (PPV) yang baru dibuka di Dewan Mutiara Kolej Matrikulasi Labuan (LMC) akan membantu mempercepatkan program imunisasi COVID-19 Labuan.

Beliau berkata kapasiti harian pusat vaksinasi di dewan Jabatan Kerja Raya dan Kompleks Darul Kifayah pada masa ini berjumlah 1,100 dan ia akan meningkat kepada 5,000 setiap hari, apabila pusat vaksinasi baharu mula beroperasi.

Selain dewan LMC, empat lagi pusat baharu ialah Klinik Kesihatan Taman Mutiara dengan kapasiti 300 orang sehari dan akan bermula pada hari Isnin depan (21 Jun), sementara tarikh operasi Dewan Utama Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), dewan Jabatan Bomba dan Penyelamat (stesen Rancha-Rancha) dan klinik kesihatan luar bandar Labuan, akan diumumkan tidak lama lagi.

“Kami menyasarkan 80 peratus penduduk Labuan diberi vaksin untuk mencapai imunisasi kelompok menjelang pertengahan bulan Julai, tetapi jika jumlahnya melepasi angka ini, ia lebih baik,” kata Rithuan.

Pengarah Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata vaksinasi pandu lalu juga akan dilaksanakan di kawasan tempat letak kereta di Medan Selera Labuan dan Labuan International Lawn Bowls Arena, dan kaedah pandu lalu ini hanya bagi dos vaksin kedua.

Labuan sedang menyaksikan penurunan jumlah kes positif COVID-19 baharu sejak dua hari lepas dengan 97 kes baharu dilaporkan hari ini.