Utamakan Kemudahan Internet, Komputer Di Kawasan Pedalaman

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
KOTA KINABALU: Liputan internet dan kemudahan komputer yang baik di pedalaman haruslah menjadi keutamaan di Malaysia dengan menjadikan teknologi pembelajaran atas talian sebagai alat pendidikan utama sepanjang tempoh krisis wabak Covid-19 ini.

Timbalan Ketua Wirawati Parti Warisan Sabah (Warisan), Joanna Henley Rampas berkata, terdapat keperluan untuk merapatkan jurang antara kawasan pedalaman dan bandar dari segi penyampaian pendidikan melalui teknologi maklumat.

“Pada masa ini, kita harus mengutamakan liputan internet dan kemudahan komputer di setiap sekolah yang berada di pedalaman Malaysia.

“Jika jurang dalam teknologi dan akses pendidikan tidak dirapatkan, kesaksamaan sosio-ekonomi ini akan bertambah buruk,”katanya.

Joanna berkata, cabaran terbesar di Sabah adalah untuk memenuhi keperluan pelajar yang tidak mempunyai akses kepada internet termasuk mereka yang sedang berjuang untuk menyertai pembelajaran atas talian.

Jelasnya, 70 peratus pelajar yang menetap di pedalaman dan pulau-pulau terpencil di Sabah tidak mempunyai akses kepada maklumat teknologi sepenuhnya.

“Perkara ini menghalang kelas pembelajaran dalam talian dan mereka kehilangan pendidikan yang berkualiti,” katanya.

Mengulas lanjut, Joanna berkata, kebanyakan sekolah di kawasan terjejas sedang memperbaiki cara pembelajaran mereka, namun keadaan tersebut masih bergantung kepada tahap dan kualiti untuk mengakses kemudahan internet.

Katanya, wabak pandemik Covid-19 ini secara tidak langsung mengubah sistem pendidikan dengan penutupan sekolah, bukan sahaja di Malaysia tetapi seluruh dunia.

Tambahnya, sepanjang Covid-19 ini, terdapat peningkatan dalam penggunaan internet bagi tujuan pendidikan.

“Ini merupakan jalan yang baharu yang kita tidak pernah lalui sebelum ini, dan sebenarnya generasi ini membuka jalan kepada teknologi dan digital dalam semua indusrtri di dunia.

“Oleh itu, amat penting agar kanak-kanak di negara yang sedang membangun seperti Malaysia untuk tidak ketinggalan dalam hal ini,” jelas beliau.

Justeru, beliau berkata, cabaran untuk merapatkan jurang antara kawasan pedalaman dan bandar dari segi mengakses kemudahan internet harus diatasi.