Utamakan Kebersihan, Elak Kejadian Kebakaran

849
MENDENGAR-Penduduk Kampung Bahagia.

Oleh PEMBERITA BORNEOTODAY
SANDAKAN : Ahli Parlimen P185 Batu Sapi Datuk Liew Vui Keong menasihatkan kepada penduduk Kampung Bahagia disini agar memastikan tahap kebersihan persekitaran dijaga, selain memantau anak-anak mereka daripada bermain dengan api yang boleh menyebabkan kebakaran berlaku.

Liew, yang juga merangkap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) ketika dalam sesi lawatan ke kampung berkenaan turut meminta penduduk kampung agar sentiasa memberikan kerjasama kepada pihak Majlis Perbandaran Sandakan(MPS) dalam soal-soal yang berkaitan kebersihan, dalam pada agenda untuk menjadikan Bandar Sandakan lebih indah dan penyakit denggi dapat dielakkan.

Kata Liew,orang kampung juga sentiasa boleh merujuk atau mengemukakan sebarang permohonan bantuan dan khidmat nasihat kepada Pejabat Pusat Khidmat Rakyat P185 Batu Sapi, dimana terdapat lebih kurang 20 orang kakitangan yang sedia berkhidmat untuk rakyat disitu.

Katanya, pusat berkenaan merupakan satu lagi kemudahan yang disediakan oleh Parti Warisan Sabah yang diterajui oleh Presiden Parti Datuk Seri Shafie Apdal, yang juga merangkap Ketua Menteri Sabah.

Liew ketika bersama penduduk Kampung Bahagia.

Pada masa yang sama Liew turut menyeru agar penduduk kampung memberikan sepenuh sokongan dan keyakinan serta kepercayaan kepada pimpinan Datuk Seri Shafie Apdal dalam memaju dan membangunkan sosio ekonomi negeri Sabah.

Tambah beliau,rakyat harus memastikan Shafie kekal dengan kedudukan sebagai Ketua Menteri Sabah, meski pun kini terdapat parti baharu yang masuk ke Sabah. Ini bagi memastikan agenda pembangunan di Sabah dapat dilaksanakan dengan lebih lancar pada
masa hadapan.

Sementara itu, Liew yang juga merupakan Pengerusi Tetap Parti Warisan turut meninjau keadaan persekitaran Kampung Bahagia, serta melawat Tabika Kemas yang menempatkan seramai 93 orang murid dengan empat orang tenaga pengajar.

Kira-kira lebih 200 orang penduduk kampung telah hadir menyambut kedatangan Liew yang diadakan di Balai Raya Kampung Bahagia disini.

Turut sama dalam lawatan berkenaan ialah Setiausaha Sulit Tuan Hanafiah Sahih bin Hj.Montoi, Pegawai Perhubungan Tuan Adin Hj.Ismail yang disambut oleh Ketua Kampung Sharif Hashim.