Usul Shafie Berlandaskan Peraturan Mesyuarat

Oleh TERTIA JACOB
SANDAKAN: Tidak timbul isu Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dalam urusan jawatan Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong, berkata usul dikemukakan Ahli Parlimen Semporna itu adalah mengikut Peraturan-Peraturan Dewan Rakyat dan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Shafie mengemukakan usul berkenaan mengikut Peraturan Mesyuarat 26 (1) yang dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 27 (3) yang membenarkan suatu usul untuk dikemukakan mengikut tatacaranya.

Berikut ayat perenggan ketiga usul Shafie:

“Selanjutnya, dengan niat tidak bertentangan kepada Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan iaitu Kuasa Melantik seorang Perdana Menteri oleh Yang Di-Pertuan Agong, usul ini dizahirkan melalui Majlis  Mesyuarat Dewan Rakyat (Parlimen Malaysia) ini sebagai penzahiran akan perkara ini kepada seluruh  rakyat jelata dan juga  sebagai sembah maklum kepada Yang Di-Pertuan Agong/ lstana Negara”.

Vui Keong berkata, ayat itu jelas menunjukkan Shafie tahu kuasa melantik Perdana Menteri adalah di bawah kuasa mutlak YDPA menerusi Perkara 43.

“Adalah terserah kepada Speaker Dewan Rakyat untuk memutuskan atau selepas mengkehendaki apa-apa undian yang perlu dibuat dan diputuskan.

“Adalah jelas bahawa YB Semporna (Shafie) amat patuh dan tahu bahawa YDPA yang berkuasa mutlak dalam pelantikan Perdana Menteri, namun beliau ingin meminta Parlimen sebagai badan perundangan utama negara ini mendengar dan memutuskan perkara iaitu YB Langkawi (Tun Dr Mahathir Mohamad) memiliki keyakinan majoriti ahli dewan rakyat,” katanya menerusi hantaran video dalam akaun rasmi Facebook, hari ini.

Sebelum ini, sepucuk surat bertarikh 5 Mei menunjukkan keputusan Dewan Speaker mengenai usul terbabit tular di media sosial.

Menerusi surat itu, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof menolak usul dikemukakan Shafie berhubung usul undi percaya bahawa Tun M mempunyai sokongan majoriti ahli.

Vui Keong berkata, Shafie menerusi ayat dalam surat usul itu juga mahu menarik perhatian YDPA dan rakyat bahawa menurut Perlembagaan Persekutuan, perkara yang membabitkan sama ada seorang itu memiliki keyakinan majoriti untuk menjadi Perdana Menteri perlu diputuskan hanya menerusi pemilihan atau undian dalam kalangan ahli dewan rakyat ketika parlimen bersidang.

“Ini membawa maksud selepas pengesahan mengenai isu keyakinan majoriti dibentang, dibahas dan diputuskan oleh ahli yang berhormat yang bersidang, maka selanjutnya sembah maklum perkara ini perlu dipanjangkan kepada YDPA.

“Ini kerana sehingga ke hari ini, semua pihak ternanti-nanti antara Tun M atau Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mana antara dua tokoh ini memiliki keyakinan majoriti,” katanya.