Usahawan Tempatan Harus Diberi Keutamaan Sebagai Pengendali Pelabuhan Labuan

154

LABUAN: Kepentingan usahawan tempatan harus diberi pertimbangan dalam perlantikan pengendali pelabuhan kontena Dermaga Merdeka Labuan.               

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata perkhidmatan pengendalinya ketika ini Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd (LLPM) yang telah melangkaui dua dekad harus diberi pertimbangan.              

“Selama 20 tahun pelabuhan Labuan itu diusahakan oleh usahawan tempatan, daripada tiada menjadi apa yang ada kini dan pengendali ini mampu menghidupkan pelabuhan itu.               

“Sudah tentulah ada sentimen  ‘sense of belonging’, terutama mereka (pengendali pelabuhan) ini adalah orang tempatan.               

“Saya mengambil sikap ’emphatize’ dan simpati dengan keadaan ini…cuma kita perlu mengetahui keadaan sebenar,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra dan Dialog bersama ketua ketua-ketua dewan perniagaan Labuan di hotel Dorsett Grand Labuan, hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas laporan akhbar pada 15 Disember lepas yang mendakwa pengendali baharu (melalui tender) dari luar Labuan telah dilantik mengambilalih pengurusan pelabuhan kontena Dermaga Merdeka Labuan.

Susulan laporan akhbar itu, satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah dibuat oleh pengurus besar LLPM Ghani Paijan pada 17 Disember lepas memohon bantuan SPRM untuk menyiasat kebocoran keputusan tender itu.

Bagaimanapun, pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan Chan Foong Hin menafikannya dan memberitahu Bernama belum ada sebarang keputusan berhubung perlantikan operator baharu untuk pengendalian pelabuhan kontena Labuan itu.