Usahawan Rosli Awg Damit Bersaing Dalam Pemilihan Warisan Labuan

1324

LABUAN: Usahawan kelahiran Labuan, Rosli Awang Damit yang bergiat aktif dalam dunia perniagaan dalam sektor berkaitan minyak dan gas, kini ‘mendaki tangga politik’ untuk bertanding dalam pemilihan bahagian Parti Warisan Sabah (Warisan) Labuan esok.

Setelah mendalami pemikiran perlunya pembangunan berterusan di Labuan dengan pengurangan permainan politik dalam pelan projek pembangunan di pulau itu, beliau mengesahkan bertanding untuk timbalan ketua bahagian Warisan Labuan.

Penyedia perkhidmatan minyak dan gas berusia 52 tahun, Rosli, dijangka berhadapan dengan bekas calon Warisan pilihan raya umum ke-14 Labuan, Noor Halim Zaini dalam pertarungan dua penjuru.

ROSLI AWG DAMIT

“Saya tidak berniat untuk mendapat apa-apa dalam politik memandangkan usia saya semakin meningkat dan perniagaan saya yang semakin meluas, tetapi fokus saya lebih kepada peranan saya untuk pembangunan Labuan untuk warga Labuan yang dahagakan pembangunan”.

“Warga Labuan telah disuap dengan pelbagai impian oleh ahli-ahli politik, sehinggakan mereka, termasuk kami sebagai peniaga, berada dalam ilusi dan dilema terhadap pelan pembangunan Labuan yang dirancang selama ini,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini Sabtu.

NOOR HALIM ZAINI

Rosli berkata beliau memerlukan satu ‘platform’ untuk merealisasikan rancangan pembangunan pulau dan rakyat secara menyeluruh.

“Sebagai seorang peniaga dan pemain industri di pulau itu, kami mempunyai kelebihan apa yang perlu dilaksanakan di Labuan untuk rakyatnya.

“Kami mahu mengurangkan politik dalam pembangunan rakyat dan setempat tetapi lebih kepada kematangan politik dan ini sejajar dengan perjuangan Pakatan Harapan (PH).

“Kami tidak berhasrat untuk mempunyai musuh dalam politik tetapi sebaliknya pertandingan yang sihat di kalangan pemimpin politik tempatan dan itu sudah semestinya untuk Labuan … sudah tiba masanya untuk kita menumpukan kepada keperluan Labuan,” katanya.