Usahawan Mikro Terjejas Covid-19 Dibantu

RANAU: Kementerian Perdagangan dan Perindustrian (MTI) Sabah dalam proses untuk mengenal pasti dan membantu usahawan-usahawan mikro yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menterinya, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, untuk tujuan itu MTI telah menerima sejumlah RM20 juta dana menerusi  Sabah New Deal yang diumumkan Ketua Menteri baru-baru ini.

“Pada ketika ini, saya dalam siri lawatan ke kampung-kampung di pelbagai daerah untuk melawat usahawan-usahawan yang memerlukan bantuan.

“Hari ini Saya mengadakan lawatan ke Ranau dan melihat beberapa usahawan yang sudah terbukti sekian lama berkecimpung, namun sedikit sebanyak terjejas akibat Covid.

“Bersama-sama saya adalah pegawai-pegawai kanan di kementerian untuk melihat bantuan-bantuan sesuai yang perlu kita salurkan kepada mereka,” katanya.

Madius yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata demikian ketika ditemui selepas melawat dua syarikat tempatan iaitu Cahaya Kasih Sdn. Bhd dan Hasil Pertanian Organik (HPO) Enterprise di sini, kelmarin.

Hadir sama, Menteri di Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Ewon Benedict dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan, Datuk Abidin Madingkir.

Madius berkata, hasil lawatan juga telah mendapati kedua-dua usahawan yang dilawati sudah mempunyai banyak interaksi dengan pelbagai agensi di kerajaan Persekutan dan kerajaan negeri.

“Dalam masa yang sama kita juga melihat bagaimana untuk membantu mereka meningkatkan perusahaan yang diceburi.

“Ini kerana apabila berjaya ditingkatkan mereka juga boleh membuka peluang pekerjaan kepada penduduk kampung,” jelasnya.

Beliau yang juga Presiden Parti Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) turut membawa bersama para pemimpin parti sebagai pendedahan tentang aktiviti perusahaan yang berpotensi dikembangkan di kawasan masing-masing.

“Saya mahu pemimpin ini nampak potensi dan juga perusahaan yang telah dibuat oleh usahawan usahawan di akar umbi supaya nanti mereka boleh kembali dan barangkali berkursus di sini.

“Ia sekali gus memberi percambahan idea bagi mereka agar sesuatu perusahaan yang difikirkan sesuai dapat disebarkan untuk pembangunan komuniti di daerah masing masing,” jelas Ahli Parlimen P170 Tuaran itu lagi.