Usahawan IKS Di Kudat Akan Dibantu

160
Ben bersama dengan Terrence dan Christopher (kanan) melawat Pasar Kering Kudat.

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan dan Perindustrian (MIT) negeri untuk mencari formula membantu usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) di Kudat berkembang seterusnya membawa kemajuan kepada daerah itu.

Melalui kerjasama itu, satu lawatan kerja terdiri daripada pegawai kedua-dua kementerian telah dianjurkan terhadap usahawan IKS di daerah berkenaan Rabu lalu untuk mengenal pasti kelemahan yang dihadapi.

Antara yang hadir adalah Pembantu Menteri Perdagangan dan Perindustrian, Ben Chong; Pegawai Khas Kepada MITI, Christopher Masudal serta pegawai-pegawai daripada semua agensi terlibat.

“Kerajaan komited dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi penduduk Kudat dan mengangkat daerah itu menjadi sebuah bandar yang maju pada masa hadapan.

“Pelbagai cara sedang dirangka untuk memastikan usaha ini dapat direalisasikan dengan berkesan,” kata Ben yang mengulas tentang usaha tersebut ketika dihubungi.

Ben dan rombongan sedang mendengar taklimat dari salah seorang pengusaha SME Kudat.

Ben yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Kapor berkata, lawatan itu turut menyelami permasalahan pengusaha IKS ini yang masih belum mampu menjalankan perniagaan mereka secara berkesan.

Katanya, salah satu aspek yang didapati menyebabkan kegagalan ialah kelemahan daripada segi strategi pemasaran dan kebergantungan terhadap subsidi atau peruntukan serta bantuan daripada kerajaan.

Jelas beliau, sehubungan itu, kerajaan akan terus memahami mereka dan cuba membantu agar usahawan-usahawan IKS ini dapat membantu meneruskan perniagaan yang diusahakan.

“Walau bagaimanapun, setiap pengusaha IKS ini harus  berani membuat pelaburan memasarkan produk mereka secara meluas.

“Mereka tidak boleh terlalu mengharapkan bantuan daripada kerajaan semata-mata dan harus belajar berdikari selepas bantuan terdahulu telah diberikan seperti pinjaman, bimbingan menjalankan perniagaan mereka dan menyediakan tempat untuk mereka beroperasi,” jelas Ben.

Sementara itu, Christopher berkata, kerajaan telah mengenal pasti beberapa jenis perniagaan yang boleh dijadikan produk daerah Kudat untuk dipasarkan antaranya makanan berasaskan ikan masin dan ikan bilis.

“Begitu juga dengan produk makanan ringan seperti kacang tanah dan keropok udang, ini semua produk-produk terkenal dari Kudat yang perlu dipromosikan secara meluas.

“Walau bagaimanapun, satu pangkalan data harus disediakan untuk mengenal pasti pengusaha-pengusaha IKS yang berdaftar di daerah ini,” ujar beliau.

Katanya, ketika ini, pejabat daerah tidak memiliki pangkalan data berkenaan, justeru langkah segera perlu diambil mengumpul data berkenaan agar memudahkan setiap perancangan selepas ini.