Usaha Bersepadu Tangani Wabak Denggi Perlu Dilaksana, Adun Elopura

155

SANDAKAN: Melihat peningkatan mendadak kes demam denggi di daerah ini, semua pihak disaran supaya melaksana usaha bersepadu bagi membendung penularan wabak penyakit bawaan nyamuk Aedes itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Elopura Calvin Chong berkata, sehingga minggu ke-10 tahun ini, kes demam denggi yang dilaporkan di Sandakan adalah sebanyak 456 kes berbanding hanya 21 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Oleh itu, semua pihak perlu bekerjasama dan memainkan peranan masing-masing untuk membendung dan membasmi penularan wabak demam denggi yang sedang berlaku di Sandakan ini.

”Disamping itu, masyarakat yang tinggal di kawasan dijangkiti wabak denggi juga disaran supaya menjalankan aktiviti gotong royong secara berjadual bagi membersihkan kawasan kediaman masing-masing,” katanya ketika berucap dalam Program Gotong-Royong menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes di Kampung Forest, di sini baru-baru ini.

Calvin berkata, jika dilihat Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan sentiasa melaksanakan program kesedaran mengenai bahaya wabak demam denggi serta program pendidikan dan pencegahan wabak berkenaan.

Menurutnya, wabak demam denggi perlu dipandang serius kerana ia adalah penyakit berjangkit yang boleh membawa maut dalam tempoh yang singkat.

Katanya, kes demam denggi yang direkodkan di Sabah setakat 2 Mac adalah sebanyak 1,150 kes.