Usaha Berkesan Perlu Untuk Promosi Kebudayaan Sabah – Musa Aman

2176
KRISTEN ITIN

PENAMPANG: Usaha berkesan perlu diambil oleh semua pihak bagi mempromosikan keunikan warisan budaya di Sabah, kata Ketua Menteri Musa Aman hari Selasa.

Jelasnya, ini kerana usaha mempromosi dan mengembangkan keunikannya masih perlu dipertingkatkan sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa.

“Dalam konteks ini, semua pihak bukan sahaja jabatan dan agensi kerajaan, tetapi juga daripada sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu sama-sama menggembleng tenaga mempromosi keunikan warisan budaya kita, termasuklah sukan tradisi dan alat kebudayaan.

“Kerajaan juga akan terus menggandakan usaha dan komitmen berterusan untuk memacu dan mempromosikan keunikan serta kekayaan warisan kebudayaan di negeri ini dengan sokongan daripada semua pihak,” katanya.

Peserta Unduk Ngadau dari Semporna – Viveliany Jani, Inanam – Christina Bulu Yohanis, dan Kinabatangan – Jeacyquelyne Albert. – Gambar ehsan Nelson Michael

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan Sukan Tradisi, Pameran Hasil Pertanian dan Alat Kebudayaan Kadazandusun Murut sempena perayaan Pesta Kaamatan di sini.

Teks ucapannya dibacakan Timbalan Ketua Menteri Sabah Joseph Pairin Kitingan.

ANIZ LYN DELNES

Musa turut meminta rakyat, khususnya di Sabah, untuk terus memberikan sokongan kepada usaha kerajaan dalam melestarikan khazanah budaya agar tidak luput ditelan zaman.

Beliau juga berharap rakyat melibatkan diri dalam pelbagai program kebudayaan sebagai usaha mengukuhkan lagi keamanan dan perpaduan di negeri ini.

Cuti umum hari ini dan cuaca panas pagi tadi tidak menghalang orang ramai, termasuk umat Islam yang sedang mengerjakan ibadah puasa di bulan Ramadan, hadir memeriahkan pelbagai acara yang dianjurkan sempena perayaan Pesta Kaamatan di Hongkod Koisaan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di sini.

Kehadiran orang ramai dijangka lebih ramai Rabu yang juga cuti umum di negeri ini bagi menyaksikan majlis penutupan pesta itu oleh Musa dan acara kemuncak perayaan iaitu Pertandingan Unduk Ngadau atau ratu cantik Pesta Kaamatan.

Seramai 44 peserta yang mewakili daerah kecil dan besar di Sabah, termasuk Lembah Klang dan Johor, akan merebut mahkota dan gelaran Unduk Ngadau 2017.