Urus Niaga Tanpa Tunai Dilancar di Pasar Tani Asia City

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
KOTA KINABALU:  Dengan menggunakan telefon pintar sendiri, orang ramai kini boleh membuat pembelian tanpa tunai di gerai usahawan Pasar Tani Asia City di sini.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Ribin Wahid berkata, pengenalan sistem itu seiring perkembangan teknologi masa kini, yang memberi kelebihan kepada pengguna dan usahawan untuk menikmati perkhidmatan yang lebih cepat dan teratur.

Katanya, sistem aplikasi tanpa tunai tersebut merupakan kerjasama penyedia aplikasi daripada Boost dan QR Pay (Maybank) serta melibatkan usahawan-usahawan kecil khususnya di pasar tani anjuran FAMA.

“Sistem pembelian tanpa tunai di pasar tani merupakan pertama kali diadakan di Kota Kinabalu dan mengikut laporan, terdapat 38 peniaga ataupun usahawan di Asia City ini telah mendaftar sebagai peniaga yang memberi perkhidmatan kepada orang secara e-dompet.

“Maknanya, pihak FAMA juga bersedia menyahut seruan kerajaan untuk mengikut trend semasa untuk menggunakan perkhidmatan secara atas talian,” katanya dalam Pelancaran Perkhidmatan Transaksi Tanpa Tunai di Pasar Tani Asia City hari ini.

Tambahnya, antara kelebihan perkhidmatan transaksi tanpa tunai tersebut ialah peniaga tidak perlu menyediakan wang kecil ketika  berurus niaga.

Menurut seorang peniaga keropok lekor, Nur Ain Minggo, 27, pengenalan sistem baharu itu amat wajar memandangkan terdapat segelintir pembeli menggunakan wang besar ketika membuat pembelian di pasar.

“Ada satu masa itu, pembeli menggunakan duit yang besar jadi sebagai peniaga kami kekurangan duit.

“Jadi, kalau guna e-dompet ini, mereka (pembeli) boleh membuat transaksi tanpa perlu menggunakan tunai dan ini sangat memudahkan kedua-dua pihak iaitu peniaga dan pembeli,”katanya.

Sementara itu, menurut seorang lagi peniaga, Azman Bilginia, 47, sistem itu memberi kebaikan kepada seorang pembeli khususnya apabila pembeli tidak membawa wang tunai.

“Walaupun dia (pembeli) tiada wang tunai, dia boleh guna telefon sahaja.

“Selain itu, penggunaan perkhidmatan tanpa tunai  ini juga boleh mengelakkan kejadian kes kecurian, itu yang penting sistem ini,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Ribin berkata, terdapat 4,312 peniaga di bawah program FAMA di Sabah dan pihaknya juga akan turun ke luar bandar untuk menggalakan lebih ramai peniaga mendaftar sebagai peniaga yang memberi perkhidmatan kepada orang ramai secara e-dompet.