UPKO Syor Sediakan Pusat Mengundi Di Luar Sabah

DONALD MOJUNTIN

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dicadang menyediakan pusat pengundian khas kepada rakyat Sabah di luar sebagai alternatif selain undi pos.

Naib Presiden UPKO, Senator Datuk Donald Mojuntin berkata, cadangan itu bileh digunakan untuk rakyat Sabah di Semenanjung, Sarawak  malah di Singapura.

Mojuntin menjelaskan bahawa ada lebih 200,000 pengundi Sabah yang ketika ini sudah mendaftar sebagai pengundi tetapi berada di luar negeri, termasuk golongan belia yang belum mengubah alamat kerana berpindah ke tempat lain untuk bekerja atau belajar.

“Mengundi jarak jauh diamalkan di seluruh dunia dan menjadi satu kebiasaan terutama ketika wabak Covid-19 sedang melanda sekarang. Negara lain menggunakan langkah itu untuk mengekang virus itu daripada merebak.

“Parti-parti politik Sabah boleh mengatur ejen pengundian untuk hadir di lokasi-lokasi yang dipilih bagi memastikan perjalanan mengundi berjalan dengan lancar dan penuh integriti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mojuntin, pusat-pusat mengundi boleh dibuka lebih awal sepanjang dua hari mengundi bagi memastikan pegawai terbabit, tidak terbeban kerja dengan inisiatif mengundi di tempat jauh.

“Kita mesti mengamalkan protokol menggunakan pelitup muka dan sanitasi tangan untuk mengelak dijangkiti virus. Kejadian baru-baru ini di Kedai menunjukkan ia hanya memerlukan seorang ‘super spreader’ untuk menjangkitkan seluruh masyarakat,” katanya.

Rakyat Sabah katanya, mesti memastikan diri sentiasa dalam keadaan bersih dan selamat dan menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya untuk menyediakan alternatif untuk mengatur inisiatif itu.