UPKO Sumbang Beras Kepada Gereja

TUARAN: Sebanyak 43 pek beras disumbangkan  Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) kepada Pemimpin Gereja Paroki Bundu Tuhan Kiulu.

Presidennya, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, bantuan berupa pek beras itu merupakan usaha berterusan bagi membantu badan-badan keagamaan yang turut terjejas akibat wabak pandemik Covid-19.

“Sebelum ini kita telah menyampaikan sumbangan kepada masjid dan surau. Kita juga telah menyampaikan kepada badan keagamaan bukan Islam daripada pelbagai denominasi.

“Kita sememangnya memahami dan prihatin dengan mereka, jadi kita juga ke paroki gereja Katolik di sini untuk memberi sumbangan kepada para pemimpin gereja,” katanya.

Madius yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Ahli Parlimen P170 Tuaran berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan itu di sini, hari ini.

Turut hadir sama Setiausaha Politik Madius, Joisin Romut, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kiulu, Suali Sikir dan Kapitan Cina Kiulu, George Teo.

Bagi Pengerusi Majlis Pastoral Paroki Bundu Tuhan, Joseph Akiu, 65,  keprihatin Madius terhadap badan-badan keagamaan dirasakan istimewa dan perlu disyukuri.

“Kami sangat berterima kasih atas pemberian ini apatah lagi Datuk Seri Madius sendiri yang datang secara peribadi berjumpa dan menyampaikan bantuan kepada kami.

“Semua pemimpin gereja di Paroki menerima bantuan walaupun tidak semua yang dapat hadir kerana kita mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa,” katanya.

Seorang lagi wakil penerima dari Gereja St Pius V Bongol, Roipin Gumuk, 63, berkata bantuan tersebut sememangnya dapat meringankan beban yang dihadapi semua pemimpin agama.

“Kita sangat berterima kasih kerana Datuk Seri Madius sentiasa mementingkan kebajikan rakyat tanpa meminggirkan nasib para pemimpin badan-badan keagamaan.

“Kita mendoakan agar beliau sentiasa diberikan kesihatan yang baik untuk terus  menjalankan tugas memimpin dan menjaga kebajikan rakyat,” katanya.