UPKO Sumbang 170 Pek Beras kepada Gereja

Madius (tiga kiri) menyampaikan sumbangan beras kepada Postinus (dua kanan). Turut kelihatan Joisin (tepi kiri).

TUARAN: Pemimpin agama di sini terus diberi perhatian tanpa mengira denominasi.

Semalam, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyumbangkan sebanyak 170 pek beras kepada Paroki Kristian Katolik Saint John Tuaran dan Saint Joseph Kiulu serta kepada Gereja Anglican dan Gereja Basel Malaysia (BCCM) Bahasa Cina.

Majlis penyampaian itu disempurnakan Presiden UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Madius berkata, badan keagamaan turut terkesan pada ketika ini kerana upacara ibadat di gereja tidak dibenarkan seperti pada masa-masa lalu.

“Justeru pungutan persembahan yang biasanya untuk membantu pembiayaan para pemimpin dan petugas gereja seperti paderi dan pendeta tidak dapat diadakan.

Gan (dua kanan) menerima sumbangan beras dari Madius (tengah) sambil disaksikan Joisin (kiri).

“Oleh itu kita membantu dengan menyalurkan beras ini supaya serba sedikit dapat membantu meringankan bebanan mereka,” katanya ketika ditemui dalam program berkenaan.

Sementara itu, Pendeta Gereja BCCM Bahasa Cina Tuaran, Gan Ching Hua, 36, berkata, beliau bersyukur kerana Madius mengambil berat terhadap kebajikan badan-badan keagamaan yang turut terkesan pada sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Madius bukan hanya membantu sesetengah komuniti sahaja, tetapi dia juga membantu semua agama termasuk agama Islam dan bukan Islam. Puji dan syukur kepada Tuhan,” katanya.

Paderi Gereja Anglican Tuaran, Tamparuli dan Kota Belud, Jemmie Pitah, 45, pula memaklumkan bantuan itu sebagai jawapan kepada doa mereka.

Madius (dua kanan) menyampaikan beras &kepada Jemmie (tiga kanan).

“Kita sebenarnya agak kekurangan pada ketika ini, namun kita terus berdoa sehinggalah kita tiba-tiba dimaklumkan tentang sumbangan ini.

“Secara khususnya saya berterima kasih kepada Datuk Seri Madius kerana tidak melupakan kebajikan kami serta badan keagamaan lain. Tuhan memberkati,” katanya.

Seorang lagi pemimpin agama yang ditemui iaitu Pembantu Rektor Gereja St Joseph Kiulu, Paderi Postinus Kurup, 44, mendoakan agar Madius terus diberikan kesihatan yang baik dan berada dalam menjalankan tugasan selaku wakil rakyat.

“Walaupun kita semua tahu tentang bahaya ancaman wabak pandemik Covid-19, beliau masih komited  menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dan prihatin membantu masyarakat yang terjejas,” katanya.

Hadir sama, Setiausaha Politiknya, Joisin Romut.