UPKO Pastikan 12 Kerusi Ditandingi Menang – Madius

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) bersedia menggalas tanggungjawab bagi memastikan kemenangan berpihak kepada calon-calon UPKO yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16.

Presiden UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, dalam PRN kali ini, UPKO bertanding 12 kerusi dan jumlah itu dua kali ganda lebih banyak daripada jumlah kerusi yang mereka bertanding semasa menjadi komponen Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, walaupun UPKO meminta lebih banyak kerusi tapi, mereka tetap berpuas hati dengan jumlah kerusi yang diberikan setelah mengambil kira terdapat empat parti yang bergabung dalam Warisan Plus.

“Apa yang penting, bukan jumlah kerusi yang kita akan bertanding tapi jumlah kerusi yang kita akan menang. Apa yang penting, kita bertanding untuk menang dan kita tidak menuntut untuk bertanding di tempat-tempat kita tidak bersedia.

“Ada 12 kerusi yang kita bertanding dan dipertanggungjawabkan kepada kita jadi, kita akan berusaha untuk memastikan kemenangan 12 kerusi ini,” katanya kepada media selepas Majlis Pengumuman Calon Warisan Plus, di sini hari ini.

Ditanya mengenai kesediaan UPKO bertanding di Tambunan yang kini disandang oleh Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Madius berkata, calon yang ditempatkan di situ juga orang yang hebat iaitu Bendahari Agung UPKO, Datuk Dr Nayan Laurentius Ambu.

Ini kali pertama UPKO bertanding di situ dan ini kali pertama UPKO bertanding dengan menggunakan logo sendiri. Diharap dengan izin Tuhan dan sokongan rakyat, parti itu boleh menang.

Berkongsi mengenai isu yang sering dibangkitkan di kawasan Kadazan Dusun dan Murut (KDM), Timbalan Ketua Menteri ini berkata, isu utama adalah pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Hal-hal berkaitan dengan PATI adalah isu utama dan kita telah memberi penerangan bahawa isu PATI ini sudah berdekad-dekad lamanya di Sabah dan rakyat sudah mula sedar tentang dalang disebalik isu ini.

“Namun, saya ingin mengajak rakyat untuk melihat penyata rasmi yang dibuat dalam pendengaran awam yang dijalankan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen pada Februari lalu.

“Dalam pendengaran itu dijelaskan siapa yang bertanggungjawab dalam hal-hal berkaitan PTI di Sabah, yang beri kad pengenalan dan senarai pengundi seperti yang dijelaskan oleh Jabar Khan sebagai Setiausaha Petugas Khas UMNO.

“Dia sendiri mengakuinya sehingga dia ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri,” jelasnya.

Untuk itu, UPKO sekali lagi menuntut kerajaan Persekutuan agar menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat keterangan yang diberikan Jabar Khan ini. Apa asasnya dan betulkah orang-orang yang telah disebutkan dalam keterangan tersebut.

Tambahnya, isu sebegitu yang rakyat harus lihat dan bukannya tuduhan fitnah yang dilemparkan ke atas Parti Warisan Sabah (Warisan).