UPKO Masih Kukuh Biarpun 2 ADUN Tinggalkan Parti

KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) masih lagi kukuh dalam kerajaan Sabah biarpun wakil rakyatnya keluar daripada parti itu pagi tadi.

Presiden UPKO merangkap Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, ketika ini UPKO masih lagi kukuh dan parti ini akan terus memainkan peranan yang penting sebagai rakan kongsi dalam kerajaan Sabah.

Beliau berkata, pucuk pimpinan parti menghormati keputusan mereka untuk meninggalkan UPKO seperti yang mereka umumkan.

“Bagaimanapun, ketika ini, kami belum mendapat apa-apa pemberitahuan secara rasmi atau bertulis. Apa yang jelas, setelah menghubungi pemimpin kami di lapangan, UPKO tidaklah terjejas sangat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Namun, beliau akan mengadakan satu mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi UPKO dalam masa sehari dua ini.

Madius, yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah demikian ketika mengulas tindakan Naib Presiden UPKO, Datuk Limus Jury dan Ahli Majlis Tertinggi UPKO Datuk James Ratib yang mengumumkan perletakkan jawatan dan keahlian mereka daripada UPKO dalam satu sidang akhbar pagi tadi.

James Ratib dan Limus Jury mengumumkan mereka bukan adun Upko lagi.

Limus adalah Ketua Bahagian UPKO Beaufort dan Ahli Dewan Undangan Kuala Penyu manakala James adalah ADUN Sugut yang memenangi kerusi itu dengan tiket UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018 sebelum menyertai UPKO. Kedua-duanya berkata mereka kini ADUN Bebas.

Madius juga telah meminta Timbalan Ketua Bahagian UPKO Beaufort, Nelson W Angang yang juga merupakan Setiausaha Agung UPKO untuk menjalankan tugas sebagai pemangku ketua bahagian berkuatkuasa serta merta.

Bagi UPKO Beluran yang dibawah kepimpinan Ketua Pemuda UPKO, Felix Joseph Saang pula, kekal mantap kerana James memang tidak memegang apa-apa jawatan dalam bahagian itu.