UPKO Main Peranan Tarik Sokongan KDM Di Kimanis

128

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
TOKYO, JEPUN: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) akan bekerja keras menarik sokongan pengundi kaum Kadazan Dusun dan Murut (KDM) untuk menyokong Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis yang bakal diadakan.

Presidennya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, parti itu akan menggerakkan jentera agar setiap rakyat dapat didekati dan memberi sokongan kepada kerajaan.

Katanya, langkah itu perlu untuk memastikan setiap tuduhan atau dakwaan pembangkang dapat dijawab

“Ahli di kawasan Parlimen Kimanis ini memang setakat ini lebih 90 peratus dalam kalangan KDM, kepimpinan pun begitu juga.

“Kita akan berusaha sedaya upaya untuk menggerakkan jentera khususnya di kawasan pusat daerah mengundi (PDM) yang mempunyai pengundi KDM yang ramai,” katanya kepada Borneo Today di Tokyo, Jepun.

Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan penghakiman Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu membatalkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman di Parlimen Kimanis dalam Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Anifah yang juga bekas Menteri Luar memenangi kerusi itu dengan majoriti 156 undi selepas mendapat 11,942 undi manakala lawannya, Datuk Karim Bujang daripada Warisan memperoleh 11,786 undi.

Bagaimanapun, pada 18 Jun tahun lalu, Karim mengemukakan petisyen ke mahkamah dengan menamakan Anifah sebagai responden pertama, manakala Pegawai Pilihan Raya Parlimen Kimanis dan SPR sebagai responden kedua dan ketiga.

Sementara itu, ketika ditanyakan mengenai sokongan UPKO terhadap Warisan, Madius berkata, pihaknya tetap komited dalam hal itu.

“Kita daripada UPKO ini bagi kita satu sokongan tambahan kepada parti Warisan nanti, kita juga akan turun padang untuk memberi penjelasan terhadap isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak pembangkang,” katanya.