UPKO Cadang Kerusi Parlimen Di Kawasan Kota Belud Ditambah

KOTA BELUD: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Kota Belud mencadangkan agar kerusi Parlimen Kota Belud ditambah apabila kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya dilaksanakan di negeri ini pada tahun 2025.

Naib Presidennya yang juga Ketua Bahagian UPKO Kota Belud Datuk Ewon Benedick berkata, ini penting memandangkan kawasan Parlimen Kota Belud amat luas dan penduduk yang ramai.

“Upko mencadangkan supaya Parlimen Kota Belud dipecahkan kepada dua parlimen iaitu Kadamaian dan Kota Belud. Ini juga selaras dengan komitmen kerajaan persekutuan untuk menyemak semula jumlah wakil Sabah dan Sarawak dalam Parlimen.

“Saya juga bersetuju dengan langkah mendapatkan semula 35 peratus kerusi Parlimeb seperti yang dibangkitkan dalam Mesyuarat Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini,” katanya selepas mesyuarat UPKO Kota Belud, baru-baru ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi komitmen bahawa kerajaan akan memberi perhatian terhadap isu berbangkit di Sabah dan Sarawak, termasuk berkaitan jumlah wakil di dua negeri itu di Parlimen.

Mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, walaupun PRU15 mungkin tidak diadakan tahun ini namun parti-parti gabungan Pakatan Harapan (PH) mengadakan persiapan awal dari segi pembahagian kerusi seterusnya mengenlpasti calon yang sesuai.

“Selain itu kita juga memberi fokus hal-hal persiapan awal parti untuk menghadapi pilihan raya negeri pada 2025,” katanya.