UPKO Bukan Pengkhianat, Tinggalkan BN Demi Prinsip Menentang Pengeluaran IC Kepada PATI

KOTA KINABALU: Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Felix Joseph Saang berkata, sudah tiba masanya Parti Bersatu Sabah (PBS) perlu berhenti memfitnah UPKO dan memperdayakan rakyat.

Beliau berkata, ini kerana sebelum ini PBS menuduh UPKO sebagai pengkhianat apabila UPKO membuat keputusan meninggalkan Barisan Nasional (BN). Pemuda UPKO ingin bertanya adakah PBS mahu menyatakan bahawa mereka juga merupakan sebuah parti pengkhianat yang lebih besar setelah meninggalkan BN.

Ternyata kenyataan-kenyataan PBS sebelum ini bahawa UPKO adalah sebuah parti pengkhianat adalah satu pembohongan dan fitnah semata-mata.

“Apabila UPKO tinggalkan BN selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2018. PBS menuduh UPKO pengkhianat. Hari ini menurut Ketua Perhubungan Umno Sabah, PBS sebenarnya sudah jadi pengkhianat BN berkali-kali.

“Kita berharap PBS akan sedar, cermin diri dan menilai diri sendiri terlebih dahulu serta berhenti memfitnah UPKO selepas ini,” kata beliau ketika ditemui selepas menghadiri perhimpunan aman di Tamu Mingguan Jalan Gaya, Kota Kinabalu kelmarin.

Felix berkata, sekiranya PBS benar-benar iklhas, mereka sepatutnya keluar daripada kerajaan yang ditunjangi Umno BN, hentikan sandiwara politik dan tidak perlu berdolak dalik.

“Mereka kononya kelihatan melawan dihadapan tetapi masih berselindung dibelakang Umno BN hanya kerana pemimpin PBS ingin mengekalkan pangkat dan kedudukan.

“Berdasarkan kenyataan Presiden PBS Datuk Seri Dr.Maximus Ongkili baru-baru ini, mereka sedar apa yang dilakukan oleh “parti komponen BN” itu tetapi mereka
seakan-akan menghalalkan kegiatan itu sehingga hari ini demi mengekalkan kuasa.

“Bila UPKO tinggalkan BN, itulah langkah berani UPKO untuk menghentikan kegiatan buruk ‘parti komponen BN’ berkenaan, tetapi antara parti yang menghidupkan mereka semula untuk berkuasa ialah PBS,” kata Felix.

“Kita gembira jika akhirnya PBS sedar bahawa, tindakan UPKO tinggalkan UMNO-BN bukanlah pengkhianatan tetapi merupakan satu pengorbanan untuk memastikan kedaulatan dan kepentingan wilayah Sabah terjaga serta terbela,” ujar Felix.

Pada Khamis, Maximus dilaporkan mendakwa sebuah parti komponen BN menyalahgunakan pendatang asing tanpa izin di Sabah demi kepentingan politik mereka.