UPKO Berwajah Baharu Untuk Terus Kekal Relevan – Presiden UPKO

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Penjenamaan semula UPKO dilihat sebagai usaha yang membolehkan parti itu terus kekal relevan, bersifat inklusif dan mempunyai kepelbagaian dalam perjuangan parti selaras dengan kehendak rakyat berbilang kaum di Sabah.

Untuk kekal relevan, pemimpin-pemimpin UPKO nekad mengambil langkah menjenamakan semula parti ini bagi menghentikan politik perkauman dan memperkasakan prinsip yang sedia ada.

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, UPKO yang dulu dikenali sebagai Pertubuhan Pasokmomogon Kadazandusun Murut Bersatu kini diubah kepada Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu.

Bukan sekadar nama, perubahan turut dilakukan pada logo dan bendera. Malah, wawasan, misi, visi serta objektif UPKO juga telah disesuaikan dengan ideologi perjuangan baharu selaras dengan aspirasi dan kehendak rakyat.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Peindustrian ini berkata, biarpun dijenamakan semula, UPKO akan terus memperkukuhkan aspirasi yang diperjuangkan selama ini selaras dengan kehendak rakyat Sabah.

“Asas perjuangan UPKO dalam memulihara bahasa Kadazandusun, membela hak tanah Orang Asal, meningkatkan penyertaan Orang Asal dalam perdagangan dan perniagaan, pendidikan dan pengajaran Bible Knowledge dalam sistem persekolahan tetap akan diteruskan.

“Malah, aspirasi dan kehendak rakyat ini akan diperluaskan dengan memperjuangkan aspirasi pelbagai etnik di Malaysia untuk memastikan bahasa ibunda mereka turut diajar di sekolah,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Penjenamaan Semula UPKO melalui siaran Facebook Live, di sini hari ini.

Dalam isu berkaitan perlaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Madius berkata, tuntutan MA63 akan terus dibangkitkan dengan lebih agresif.

Beliau berkata, perjuangan menuntut hak-hak Sabah yang termaktub dalam MA63 perlu diperhebatkan sehinga Sabah berjaya menuntut semula kesemua hak negeri ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, usaha menjenamakan semula UPKO ini dibangkitkan dalam persidangan tri-tahunan UPKO pada Oktober 2018.

Susulan itu, satu Pasukan Petugas Khas yang diketuai oleh Senator Datuk Donald Peter Mojuntin yang juga Timbalan Presiden UPKO telah ditubuhkan dan dibantu oleh Setiausaha Agung, Nelson Anggang dan juga pengkaji-pengkaji UPKO. Ia bagi menjalankan kajian terperinci mengenai apakah pandangan ahli dan juga rakyat tentang halatuju perjuangan UPKO yang seterusnya.

“Hasil kajian telah membuktikan bahawa rata-rata ahli UPKO dan juga rakyat jelata memberi pandangan positif. Mereka bercadang bahawa sebaik-baiknya, perjuangan UPKO selepas ini wajib menjurus kepada prinsip asas yang lebih inklusif dalam perjuangannya.

“Akhirnya, setelah mendapat persetujuan, kami mengangkat cadangan perubahan tersebut kepada Persidangan Luar Biasa untuk meminda perlembagaan parti. Semua perwakilan memberi sokongan padu atas penjemanaan semula ini dan kami telah membawa perkara ini untuk kelulusan pendaftar pertubuhan,” jelasnya.