UPKO Alu-Alukan Semangat Demokrasi Dalam Pemilihan Parti

KOTA KINABALU: Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) mengalu-alukan semangat demokrasi dan komitmen ahli parti itu untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar dalam parti menjelang pemilihan UPKO tahun ini.

UPKO akan mengadakan Perhimpunan Agung Tri Tahunan pada tahun ini.

“Seperti semua parti politik, sudah tentu akan ada ahli parti yang ingin mengambil peluang ini untuk menyumbang kepada kemajuan parti dengan mahu memikul tanggungjawab yang lebih besar dalam parti. Di UPKO, kami mengalu-alukan semangat dan komitmen seperti itu daripada ahli-ahli kami.

“Setiap jawatan, bermula dari ahli jawatankuasa cawangan sehinggalah jawatan Pengerusi Tetap, terbuka untuk dipertandingkan dalam semangat proses demokrasi dan bimbingan perjuangan parti untuk rakyat,” kata Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dalam satu kenyataan hari ini.

Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata UPKO juga memahami cabaran yang dihadapi parti itu sebagai pembangkang yang mengundang pelbagai idea dan cadangan mengenai bagaimana UPKO harus membawa teraju perjuangan untuk berkhidmat dengan lebih baik kepada rakyat.

Lebih-lebih lagi ketika Pilihan Raya Umum semakin hampir.

“Namun apa yang sama penting adalah saya yakin dan berasa selesa apabila mengetahui pemilihan pucuk pimpinan baharu pada Perhimpunan Agung Tri Tahunan pada tahun ini akan berlandaskan pada memastikan perpaduan, kekuatan dan keikhlasan dalam perjuangan UPKO senantiasa terpelihara, dijaga dan dipertahankan,” katanya.