Upko Akan Dijenama Semula Agar Terus Relevan – Madius

MADIUS TANGAU

PENAMPANG: Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) akan dijenamakan semula dalam tempoh terdekat bagi memastikan parti itu relevan dengan keadaan politik semasa.

Presiden Upko Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, selama Upko ditubuhkan, semua kaum diterima sebagai ahli namun, nama parti itu masih merujuk kepada kaum Kadazan Dusun Murut (KDM) hingga menyebabkan mereka yang bukan etnik KDM ini merasa seolah-olah terasing.

Atas sebab itu, kepimpinan parti memutuskan sudah tiba masanya untuk Upko dijenamakan semula untuk disesuaikan dalam keadaan semasa.

“Penjenamaan semula ini bukan bermaksud Upko tiada hala tuju tetapi kita mahu parti ini lebih bersifat praktikal dan berkesan untuk menjadi platform semua rakyat Sabah tanpa mengira bangsa dan agama.

“Keputusan untuk menjenamakan semula Upko itu sudah dibincangkan dalam Mesyuarat Agung Upko yang lalu. Penjenamaan ini perlu agar perjuangan Upko terus relevan dan lebih berkesan dalam memberi tumpuan kepada hal-hal kemasyarakatan,” katanya dalam Majlis Ulang Tahun ke-25 Upko, di sini pada malam Khamis.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal yang hadir merasmikan majlis itu turut bersama-sama menyempurnakan acara pemotongan kek sebagai simbolik sambutan Ulang Tahun Jubli Perak Upko.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Upko mengambil langkah meneruskan kesinambungan perjuangan dengan menyertai Parti Warisan Sabah bersama Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan baharu.

Upko yang ditubuhkan semula pada 8 Ogos 1999 diasaskan oleh Tan Sri Bernard Dompok.

Bernard Dompok, yang juga Presiden Kehormat Upko antara yang turut hadir dalam majlis berkenaan bersama-sama Timbalan Presiden Upko Senator Datuk Donald Peter Mojuntin, Ahli Majlis Penasihat Upko Tan Sri Wences Angang, Naib-naib Presiden Upko iaitu Datuk Limur Jury, Datuk Abidin Madingkir, Datuk Dr Lucas Umbul, Felix J. Saang; Setiausaha Agung Upko Nelson W. Angang serta barisan pemimpin tertinggi Upko dan wakil-wakil parti kerajaan yang lain.