Unduk Ngadau, Sugandoi bersempena Kaamatan 2020 dilangsung dalam talian

KOTA KINABALU: Dua pertandingan utama Pesta Kaamatan, Unduk Ngadau (Ratu Cantik) dan Sugandoi (nyanyian), akan dilangsungkan secara dalam talian pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Kaamatan Peringkat Negeri 2020 Datuk Peter Anthony berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat jawatankuasa tersebut hari ini, selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Pemilihan untuk kedua-dua pertandingan ini akan dilaksanakan menerusi laman sosial Facebook bermula esok hingga 29 Mei.

“Untuk pertandingan Sugandoi, para peserta boleh membuat kiriman video di Facebook Sugandoi Artist Management manakala bagi Unduk Ngadau para peserta boleh membuat kiriman video di Facebook Unduk Ngadau 2020,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat tersebut di sini.

Katanya Sugandoi akan diadili sepenuhnya secara dalam talian dan pemenang akan diumumkan pada 30 Mei ini, sementara Unduk Ngadau diadili melalui undian dalam Facebook bagi mencari tujuh peserta terbaik yang akan bertanding di Pusat Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) pada 31 Mei.

“Tujuh peserta akhir Unduk Ngadau berkenaan akan diadili oleh juri profesional dan ia akan disiarkan secara langsung melalui Facebook. Orang ramai tidak dibenarkan datang ke KDCA,” katanya.

Beliau berkata hadiah adalah sama seperti tahun lepas iaitu Ratu Unduk Ngadau akan membawa pulang wang tunai RM18,000 sementara tempat kedua RM13,000 dan ketiga RM10,000.

Bagi pertandingan Sugandoi pula, juara akan membawa pulang RM6,000, naib juara (RM4,000) dan ketiga (RM3,000).