Unduk Ngadau Dilantik Duta Produk IKS Sabah

KOTA KINABALU: Unduk Ngadau Kaamatan 2021, Maya Hejnowska di lantik sebagai Duta Produk IKS Sabah sempena Kempen Belilah Barangan Buatan Sabah yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Maya, 20, menerima watikah pelantikannya dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Kementerian Pembangunan Perindustrian (MID), di sini hari ini.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, kementerian itu bekerjasama dengan Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) bagi melantik Maya sebagai Duta Produk IKS Sabah selama setahun.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Maya kerana menjuarai Pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan 2021 dan seterusnya menerima pelawaan daripada MID untuk menjadi Duta Produk IKS.

Sebagai Duta, Maya menerima wang tunai sebanyak RM10,000 bagi mempromosikan produk IKS Sabah termasuklah berlakon dalam klip video Kempen “Belilah Barangan Buatan Sabah”.

Dia juga dikehendaki menghadiri majlis perasmian kempen serta mengikuti pameran atau ekspo dalam negeri yang akan dianjurkan oleh MID.

Mengulas lanjut, Joachim berkata, belia akan melancarkan Kempen Belilah Barangan Buatan Sabah untuk membantu industri kecil dan sederhana (IKS) di negeri ini tidak lama lagi.

Kempen tersebut diadakan untuk memperkenalkan produk buatan usahawan IKS Sabah.

Ini untuk menggalakkan pengguna menyokong serta membeli barangan buatan Sabah.

Selain itu, katanya, kempen ini juga adalah untuk membantu mengembangkan pasaran usahawan IKS ke peringkat negeri dan luar negeri.

“Kempen ini juga bertujuan untuk membantu usahawan IKS Sabah meningkatkan semula hasil jualan akibat penularan pandemik Covid-19 dan seterusnya menambah peluang pekerjaan dalam sektor perusahaan kecil,” katanya.

Joachim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang menjelaskan, terdapat 4,000 lebih produk usahawan IKS Sabah telah berada di pasaran tempatan dan 2,340 produk yang telahpun berdaftar dalam platform rasmi e-dagang kementerian iaitu aplikasi GoBiz.

Selain itu, pihak kementerian juga telah mengenal pasti slogan, logo dan  lagu rasmi dicipta khas untuk kempen Belilah Barangan Buatan Sabah ini.

Progam ini adalah salah satu Inisiatif Kementerian Pembangunan Perindustrian di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya bagi tahun 2021.

Turut hadir ialah Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, Tamin Zainal; Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian; Thomas Logijin dan dan Pengerusi Unduk Ngadau Kaamatan 2021, Joana Kitingan.