Undi Parti Pemerintah Demi Kelangsungan Pembangunan Di Kimanis

Oleh SURAIDAH ROSLAN
MEMBAKUT: Calon Parti Warisan Sabah (Warisan) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis, Datuk Karim Bujang mengingatkan pengundi agar tidak dibuai mimpi dengan janji yang dilontarkan oleh pembangkang.

Katanya, beliau percaya pengundi di Kimanis sedar sejak setahun lebih pembangkang memegang Kimanis, tiada apa-apa pembangunan dilakukan dalam tempoh itu.

Oleh itu, pengundi perlu membuat pilihan yang bijak dengan mengundi parti kerajaan agar masa yang berbaki lebih tiga tahun ini dapat dimanfaatkan bagi membawa masuk pembangunan di Kimanis.

Beliau berkata, pengundi perlu bijak membuat pilihan dan harus menyokong parti kerajaan.

“Saya mahu menyedarkan rakyat di sini betapa pentingnya kita bersatu-padu supaya arus pembangunan yang sedang dilaksana di Sabah dapat dilakukan.

“Sebagai parti pemerintah, kita bukan sahaja boleh janji tetapi, kita mampu melaksanakannya.

“Bagi pembangkang, mereka akan terus membangkang setiap apa yang dilakukan kerajaan walhal pembangkang bukan 100 peratus betul,” katanya ketika ditemui semasa Tinjauan Mesra di Tapak Tamu Membakut, di sini hari ini.

Tinjauan mesra itu adalah tinjauan pertama yang dilakukan oleh Karim sejak tempoh berkempen bermula kemarin.

Menurutnya, calon Barisan Nasional ini sudah kalah dalam Pilihan Raya Umum lalu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan dan kini ingin bertanding di kawasan yang lebih besar.