Undang-Undang Kecil Pengurusan Sisa Buangan Bakal Digubal

Oleh SURAIDAH ROSLAN
PENAMPANG: Kementerian Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri sedang melihat keperluan untuk menggubal undang-undang kecil pengurusan sisa buangan di daerah ini.

Langkah itu seiring dengan pelaksanaan Kempen 3R (mengurangkan, mengguna semula dan kitar semula) yang telah dilancarkan sebelum ini.

Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Jannie Lasimbang berkata, penggubalan undang-undang sebegitu akan membolehkan usaha melaksana pengasingan sisa buangan dapat diurus dengan baik.

“Maka, kita akan mengadakan perbincangan rapi bagi menggubal undang-undang ini. Apabila ada by-law ini, majlis daerah atau pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh menyediakan satu lori atau tempat menyimpan sisa buangan yang sesuai.

”Bagi menjayakan usaha ini, kita kena terus melakukan kempen kesedaran bagi memastikan orang ramai akan melakukan pengasingan sisa buangan.

“Ini merupakan usaha jangka panjang dan kita kena sentiasa berkempen mengenainya,” katanya ketika diminta mengulas mengenai usaha pengurusan sisa buangan di Penampang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan itu berkata, penggubalan undang-undang itu adalah fokusnya pada tahun ini dan dalam masa sama, beliau akan terus meningkatkan kesedaran mengenai keperluan melakukan pengasingan sisa buangan.

Jannie berkata, untuk tahun ini program pengasingan sisa buangan ini akan dilaksana di kawasan perumahan dan diharap ramai orang yang akan menyertainya.

Tambahnya, mereka juga akan terus bekerjasama dengan Pusat Kitar Semula Tzu Chi bagi memastikan pengasingan plastik dan kertas dihantar ke situ untuk dikitar semula.

Mengulas lanjut, Jannie berkata, pelaksanaan undang-undang sebegitu telah dilakukan di Pulau Pinang di mana mereka bermula dengan kempen kesedaran sebelum undang-undang itu dikuatkuasakan sepenuhnya.

Dalam masa sama, mereka juga sedang melaksana projek perintis biogas di Kendara Court bagi mengitar semula sisa buangan organik untuk membekalkan gas masakan.

Namun, projek yang dilaksana sejak tahun lalu ini perlu dipantau keberkesanan dan kejayaannya terlebih dahulu sebelum dilaksana di kawasan lain.