Umur 65 Tahun Edar Syabu, Warga Emas Berdepan Tali Gantung

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Hanya mengambil upah sebanyak RM2,000, seorang wanita warga Indonesia berumur 65 tahun berdepan hukuman mati mandatori kerana cuba menyeludup dadah jenis syabu di Terminal Feri Tawau, di sini, semalam.

Dalam kejadian pukul 2.40 petang itu, polis turut merampas syabu seberat 455.23 gram dianggarkan bernilai lebih RM45,000 yang disembunyikan dalam pakaian wanita tersebut.

Difahamkan wanita itu dalam perjalanan dari Lahad Datu ke Bulukumba, Sulawesi, Indonesia untuk menghantar bekalan tersebut.

Menurut sumber, sebelum kejadian suspek bertemu dengan seorang wanita di Lahad Datu bagi mendapatkan bekalan dadah terbabit.

Wanita itu telah meminta suspek untuk membawa dadah berkenaan ke Bulukumba, Indonesia menerusi jalan laut dari Tawau.

Bagaimanapun, tindakan suspek berjaya dihidu pihak berkuasa yang bertindak menahannya ketika melintasi kawasan pemeriksaan di Terminal Feri Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, ketika diperiksa, polis berjaya menemui dua bungkusan berwarna hitam dalam poket seluar hadapan yang dipakai suspek

“Pemeriksaan lanjut dilakukan ke atas dua bungkusan itu, menemui 10 bungkusan lutsinar dibalut dengan tisu dan salotep hitam didalamnya.

“Setiap bungkusan itu mengandungi ketulan hablur dipercayai dadah jenis syabu seberat 455.23 gram,” katanya.

Sehubungan itu, polis merampas semua dadah tersebut dan suspek yang sudah berkahwin direman untuk siasatan lanjut.

Menurut Peter, ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas suspek menunjukkan negatif kandungan dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.