UMS Sumbang Ruang Persampelan Covid-19 Mudah Alih

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) bukan hanya muncul sebagai rakan strategik Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dalam menjalankan ujian sampel Covid-19.

Universiti awam ini turut mengambil langkah setapak kehadapan dalam menghasilkan Covid Sampling Chamber (CSC) atau Ruang Persampelan Covid mudah alih yang disumbangkan kepada JKNS.

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin berkata, sebagai institusi yang mempunyai kepakaran dalam menghasilkan produk inovasi, UMS mempunyai tanggungjawab untuk menghasilkan ruangan sebegini dalam memudahkan proses pengambilan sampel Covid-19.

Beliau berkata, ini merupakan tanggungjawab sosial UMS dalam membantu usaha kerajaan menangani penularan wabak Covid-19 di negeri ini.

Katanya, reka bentuk ruangan sampel yang kedap udara ini dapat memberi keselesaan kepada petugas kesihatan untuk mengambil sampel daripada orang ramai.

“Ruang sampel yang mempunyai pengudaraan yang baik ini akan membolehkan petugas kesihatan terhindar daripada percampuran udara daripada sekitar pesakit yang disyaki (PUI) ketika melakukan pengambilan sampel Covid-19.

“Penggunaan ruangan ini juga akan meminimakan penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE) kerana petugas hanya perlu menggunakan pelitup muka dan bukannya set PPE yang lengkap,” katanya semasa sidang media sempena Majlis Penyerahan Covid Sampling Chamber daripada UMS kepada JKNS, di sini hari ini.

Menurutnya, CSC yang disumbangkan kepada JKNS ini adalah yang pertama dihasilkan dan UMS merancang untuk membina empat lagi ruangan sebegini untuk digunakan di UMS dan diedarkan ke tempat lain.

Beliau berkata, biarpun ruangan sebegini sudah pernah dihasilkan namun, saiz ruangan ini lebih kecil dan bersifat mudah alih. Reka bentuknya akan memudahkan ruangan ini dibawa ke luar kawasan.

Setiap satu ruangan CSC ini memerlukan kos pembinaan sejumlah RM20,000 dan mengambil masa kira-kira dua hingga tiga minggu untuk disiapkan oleh kontraktor dilantik.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, ini merupakan titik bersejarah buat JKNS kerana menerima sumbangan CSC sebegini.

Beliau berkata, penggunaan ruangan ini memberi keselesaan kepada petugas kesihatan disamping, dapat mengurangkan penggunaan PPE.

Katanya, diharap kerjasama bersama UMS ini akan diteruskan dalam usaha menangani penularan wabak Covid-19.

(Visited 1 times, 1 visits today)