UMS Rangkul Lima Perak dan Tujuh Gangsa pada WCoPA 2022

KOTA KINABALU: Pelajar dan kakitangan Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengharumkan nama Malaysia dengan membawa pulang lima perak dan tujuh gangsa pada pertandingan World Champions of Performing Arts (WCoPA) 2022 yang berlangsung di Los Angeles Amerika Syarikat, baru-baru ini.

Dua pingat perak dimenangi pelajar Seni Tari, Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF), Vanessa William menerusi Tarian Solo Kontemporari dan Terbuka kategori umur 18-24 tahun.

Vanessa juga menyumbang dua pingat gangsa dalam acara Dance Lyrical, dan Dance Folklore pada kategori umur yang sama.

Dalam pada itu, pelajar pascasiswazah Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Quenner Mitchell Pauzi turut menyumbang dua perak dan dua gangsa menerusi acara muzik instrumental.

Pingat perak itu masing-masing diperoleh melalui kategori muzik Instrument Original Works dan kategori Instrumental Terbuka. Manakala, dua gangsa dikutip menerusi kategori Kontemporari dan muzik Instrumental Jazz.

Seorang lagi pelajar FPP, Noor Hasfizzah Ladin, menyumbang masing-masing satu pingat perak dan satu gangsa melalui acara Vocal World danVocal Variety kategori umur 25-29 tahun.

Dua pingat gangsa selebihnya diperoleh Kumpulan Ketari Sari yang diwakili Ketua Program Seni Kreatif ASTiF, Dr. Sharip Zainal Sagkif Shek dan Artis Budaya Kanan UMS, Norain Abd Razak.

Mereka meraih pingat tersebut melalui acara tarian duet kategori Dance Open dan Dance Folklore umur 30 tahun ke atas.

Untuk rekod, WCoPA 2022 menyaksikan kira-kira 60 buah negara telah mengambil bahagian dalam pertandingan itu yang berlangsung selama sembilan hari.